mk-logo
Berita
Isu pasir: Speaker halau ADUN BN keluar dewan

Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim hari ini menghalau Abdul Syukur Idrus (BN-Kuang) keluar daripada dewan.

Tindakan itu dilakukan Teng mengikut peraturan mesyuarat 44 (2) selepas bertikam lidah dengan Abdul Syukur selama kira-kira 10 minit.

"Saya perintah bawah peraturan mesyuarat 44(2) disebabkan YB degil, saya perintahkan yang berhormat keluar daripada dewan," kata Teng selepas Abdul Syukur ( kanan ) berkeras untuk mengemukakan soalannya.

NONE Abdul Syukur ingin mengemukakan soalan berkaitan aktiviti kecurian pasir di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau disekat oleh Teng apabila  enggan menyatakan peraturan mesyuarat untuk membolehkannya bangun bercakap.

Teng berkata Abdul Syukur juga digantung daripada dewan selama satu hari memandangkan beliau telah berkali-kali memberi peringatan kepada ADUN Kuang itu seupaya mematuhi perintah tetap.

Katanya, peraturan 35(1) yang dipetik oleh Abdul Syukur hanya peruntukan umum untuk membolehkan seseorang ahli bercakap, dengan kebenaran speaker dewan. 

"Tetapi kalau dia hendak bawa apa-apa isu, dia kena spesifik kepada peraturan apa," katanya ketika ditemui pihak media di luar dewan.

Katanya, Abdul Syukur ingin bercakap bawah peraturan 34(1) untuk menyoal mengenai satu usul yang telah ditolak olehnya sebelum ini.

Jelasnya, beliau tidak membenarkan tindakan itu kerana peruntukan berkenaan adalah untuk menarik balik sesuatu usul.

Tambahnya, usul berkenaan adalah untuk memotong gaji menteri besar, atas kegagalan menteri besar menguruskan isu kecurian pasir.

NONE Katanya, beliau menolak usul tersebut kerana tidak dikemukakan mengikut peraturan sepatutnya, iaitu bawah peraturan perbekalan (bajet).

Beliau juga menolak dakwaan daripada Abdul Syukur, bahawa kerajaan negeri ingin menutup isu pasir apabila menolak usul berkenaan.

Jelasnya, dakwaan Abdul Syukur itu menunjukkan wakil pembangkang tidak memahami konsep pengasingan kuasa yang diamalkan kerajaan negeri.

Jelasnya, beliau bertindak secara tidak berpihak dalam memutuskan sama ada sesuatu usul patut dibincangkan.
 
Malah, katanya, cabang eksekutif sendiri tidak akan mengetahui sekiranya dewan telah menolak sesuatu usul daripada dibincangkan.

Bercakap kepada media di luar dewan itu, Abdul Shukur pula berkata beliau telahpun menjangka bahawa DUN tidak akan menerima usul tersebut untuk dibincangkan.

Abdul Syukur yang juga ketua penerangan Umno Selangor berkata beliau juga tidak perlu berada di dalam dewan itu sekiranya tidak diberi peluang untuk menyampaikan suara rakyat.

Beliau turut juga menyifatkan penjelasan yang dibuat oleh menteri besar berkaitan industri perlombongan pasir hari ini sebagai satu "penipuan."

Dalam pada itu juga, beliau turut mempersoalkan bagaimana syarikat Kuala Semesta Sdn Bhd diberikan kuasa yang luas untuk mengawal kesemua sumber pasir di negeri itu.

"Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah," katanya, merujuk kepada dakwaan berlakunya kegiatan kecurian pasir daripada aktiviti perlombongan tersebut di Selangor.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini