Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan membelanjakan lebih daripada RM120 juta dalam tempoh tiga tahun bagi menggantikan 1,720 kenderaannya yang semakin uzur.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata semua trak yang bermasalah akan dijual.

Proses penggantian ini, katanya akan dilaksanakan dalam tiga peringkat.

Setakat ini, TNB telah menggantikan 521 kenderaan dengan pelaburan berjumlah kira-kira RM50 juta.

Che Khalid berkata keandalan dan kecekapan kenderaan-kenderaannya amat penting kerana sebarang kelewatan dalam operasinya disebabkan oleh kerosakan dan prestasi yang rendah boleh menjejaskan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.

"Pembelian ini perlu bagi menggantikan kenderaan yang seringkali rosak dan juga bagi meningkatkan produktiviti TNB.

"Kebanyakan kenderaan yang ada sekarang berusia di antara 10 dengan 15 tahun dan memerlukan kos penyenggaraan yang tinggi. Jadi, kami merasakan masanya sudah tiba untuk menggantikan kesemuanya," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Kenderaan-kenderaan itu akan dibekalkan oleh anak-anak syarikat DRB-HICOM Bhd, Automotive Corporation (M) Sdn Bhd dan EON Auto Mart Sdn Bhd.

Memandangkan TNB merupakan operasi 24 jam yang dilaksanakan dalam keadaan mendesak, perkhidmatan kenderaan dan pemandu sentiasa diperlukan pada bila-bila masa sahaja.

"Kami percaya model-model baru ini akan memberikan jaminan keandalan bertahap tinggi dan mengurangkan kos operasi di samping membantu kami mencapai penjimatan operasi yang besar," tegasnya.

TNB juga memperuntukkan RM25 juta bagi peralatan, kata beliau.

--Bernama