Tokoh MCA menolak cadangan naib presiden parti, Datuk Donald Lim bagi membentuk sebuah PERKASA Cina.
Timbalan presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, menyifatkan idea Lim sebagai pendapat peribadinya dan tidak mencerminkan pandangan parti.
"Ini bukan pendirian parti. Parti telah menyuarakan pendirian bahawa kami kadangkala tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan atau diperkatakan oleh PERKASA, jadi mengapa harus kami menubuhkan sebuah badan lain untuk bertindak balas?
"Pendirian MCA sentiasa untuk perpaduan dan bekerjasama rapat dengan semua kaum dan terus memupuk harmoni dan perpaduan dalam negara," katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Lim dilaporkan menggesa pembentukan sebuah PERKASA Cina bagi mendepani pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak orang Melayu, dikenali sebagai PERKASA dan diketuai oleh tokoh lantang, Datuk Ibrahim Ali.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong, berkata parti itu tidak ada membincangkan cadangan seperti itu dan MCA tidak mengamalkan politik "bertindak balas".
"Kami akan menyuarakan rungutan masyarakat tanpa mengira kaum, dan walaupun MCA adalah parti berasaskan kaum, kami masih memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia," kata beliau.
- Bernama