Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lesen 18 pengilang air minuman dibotolkan dibatalkan
Diterbitkan:  Jul 13, 2010 5:02 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Kementerian Kesihatan telah membatalkan lesen 18 syarikat pembungkusan air minuman daripada air paip yang dibotolkan kerana gagal mematuhi syarat-syarat lesen sebagaimana yang ditetapkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tindakan itu diambil berdasarkan pemantauan kementerian terhadap kualiti air minuman berbungkus yang dihasilkan dengan mengambil sampel bagi tujuan analisis mikrobiologi, kimia dan radioaktif secara berkala.

"Kerajaan memang membuat pemantauan ke kilang pembungkusan air dan membuat ujian secara rawak. Sehingga hari ini 18 kilang pembungkusan air ini dibatalkan lesen mereka kerana tidak mematuhi kehendak lesen,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Idris bertanya mengenai mekanisme yang diguna pakai oleh kementerian untuk memastikan air minuman yang dibotolkan oleh syarikat-syarikat berkenaan tidak memudaratkan pengguna.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Dr Siti Mariah Mahmud (Pas-Kota Raja), Tiong Lai berkata, kementerian bertanggungjawab memastikan keselamatan air minuman daripada bekalan air paip yang dirawat dan dibotolkan untuk jualan melalui penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS