Enakmen kebebasan maklumat

   

Apa itu kebebasan maklumat?

Undang-undang kebebasan maklumat menetapkan peraturan dalam pemerolehan maklumat yang dipegang oleh badan-badan kerajaan. Undang-undang ini menjelaskan proses perundangan yang mewajibkan maklumat kerajaan dibuka kepada orang awam.

khalid ibrahim and selangor state Tujuannya untuk menggalakkan ketelusan dan menangani rasuah. Lebih dari 70 negara di dunia, termasuk negara China, India dan negara Thai telah melaksanakan undang-undang kebebasan maklumat, dan banyak lagi dalam proses untuk berbuat demikian. Malaysia merupakan antara negara terakhir yang masih belum memperkenalkan undang-undang kebebasan maklumat.

Apakah Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010?

Enakmen ini bertujuan untuk “mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam, untuk memberi kepada setiap individu peluang untuk akses kepada maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan Kerajaan Negeri.” Enakmen ini hanya berkuatkuasa kepada Kerajaan Negeri Selangor dan jabatan-jabatan di bawahnya. Jabatan-jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan walaupun bertempat ataupun bertugas di negeri Selangor tidak termasuk dalam enakmen ini. Maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) juga tidak termasuk.

Bagaimanakah permohonan untuk maklumat dibuat?

Setiap jabatan kerajaan akan melantik seorang Pegawai Maklumat yang berfungsi sebagai perantara jabatan dengan orang awam dalam permohonan maklumat. Permohonan perlu dituju kepada Pegawai Maklumat yang berkenaan, dan maklumbalas wajib diberi dalam masa 30 hari ataupun 7 hari dalam kes-kes kecemasan. Sebab dan tujuan mendapatkan maklumat perlu dinyatakan dan bayaran fi yang munasabah mungkin dikenakan.

Adakah maklumat peribadi dilindungi di bawah rang undang-undang yang dicadangkan?

Maklumat peribadi orang perseorangan pihak ketiga memang dilindungi. Sesuatu jabatan berhak menolak permohonan maklumat peribadi pihak ketiga seperti alamat rumah, maklumat yang boleh menyebabkan satu tindakan pecah kerahsiaan yang boleh didakwa, dan rahsia-rahsia perniagaan.

Walau bagaimanapun, pengecualian akan dibuat jika pihak ketiga memberi kebenaran.

Bolehkah orang kurang upaya (OKU) ataupun mereka yang buta huruf membuat permohonan?

Ya. Permohonan secara lisan boleh dibuat oleh mereka yang tidak dapat memohon secara bertulis.

Apakah had terhadap maklumat yang dapat diperolehi?

Jika maklumat yang dipohon tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis, seperti OSA, maka akses kepada maklumat tersebut juga akan tertakluk kepada undang-undang yang sama. Walau bagaimanapun, kebanyakkan maklumat kerajaan tidak tertakluk di bawah OSA. Rang undang-undang ini memudahkan akses kepada maklumat yang tidak menjejaskan operasi Kerajaan Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Permohonan boleh ditolak jika pemohon didapati tidak berhak memperolehi maklumat tersebut, maklumat tersebut tidak wujud ataupun berada di luar bidangkuasa jabatan. Permohonan yang menyusahkan, tidak munasabah atau berulang juga boleh ditolak.

Bolehkah rayuan dibuat ke atas penolakan permohonan?

Ya. Satu Lembaga Rayuan yang terdiri dari bekas hakim, dan/atau peguamcara dan peguambela yang mempunyai pengalaman yang berkaitan akan ditubuhkan. Rayuan mesti dibuat dalam tempoh 21 hari selepas tarikh penerimaan keputusan.

Bilakah rang undang-undang ini akan dilaksanakan?

Proses rang undang-undang ini adalah seperti berikut:

1) Dibentangkan untuk Bacaan Pertama dan Kedua di Sidang Dewan pada Julai 2010;

2) Perundingan awam, penyelidikan dan kajian melalui Jawatankuasa Pilihan Khas;

3) Jawatankuasa Pilihan Khas akan membentangkan keputusan, cadangan dan/atau pindaan di Dewan untuk Bacaan Ketiga selewat-lewatnya pada bulan April 2011.

Maka rang undang-undang yang bakal diluluskan merupakan hasil cabang eksekutif, perundangan dan rakyat Selangor.

Malaysiakini
terkini untuk anda