Puisi merdeka dalam Hip Hop, Rap
Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) dalam usahanya menarik minat golongan belia menyertai Sayembara Puisi Merdeka 2010 akan membenarkan penyampaian puisi dalam pelbagai cara termasuk hip hop dan rap.
Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli berkata untuk itu sayembara yang kini dikenali sebagai 'Jiwa Merdeka 2010: 1Malaysia Menjana Transformasi' akan berkonsepkan teatrikal.
Ini termasuk menggabungkan elemen pembaharuan melibatkan muzik, visual dan kaedah-kaedah lain yang sesuai supaya penyampaiannya lebih segar dan sejajar dengan masyarakat intelek dan kreatif pada masa kini, katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata di samping itu, persembahan cara baru ini dijangka akan memberi impak yang lebih berkesan kepada penonton.
"Kita juga ingin memberi peluang kepada golongan belia untuk menyampaikan puisi mungkin dalam bentuk hip hop atau rap sebagai menyahut seruan Perdana Menteri untuk menjadikannya lebih kreatif dan inovatif," katanya.
Norliza berkata suntikan baru dalam penyemarakkan bahasa dan persuratan adalah perlu memandangkan kesusasteraan merupakan elemen penting dalam pembinaan jati diri anak bangsa.
"(Malah) sejak sekian lama, sastera berfungsi sebagai wadah membangkitkan semangat nasionalisme masyarakat dan sesuai dengan Program Tranformasi Kerajaan (GTP) berteraskan inovatif dan kreatif, sambutan bulan kemerdekaan tahun ini memperlihatkan pengisian yang sangat baru dan segar," katanya.
Beliau berkata dengan kaedah baru ini, sayembara puisi tahun ini diharapkan bukan sahaja menyatukan pelbagai kaum di negara ini, malah menjadi ejen kepada pencetus kreativiti bagi karyawan sastera generasi muda.
Walaupun sayembara kali ini akan menggunakan kumpulan puisi yang terkandung dalam penerbitan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) namun generasi muda diberi peluang menghasilkan puisi pasca merdeka mengikut interpretasi mereka.
-- Bernama

