Pelan strategik nasional bagi mencegah bermulanya penyakit kardiovaskular, diabetes dan komplikasi berkaitan di kalangan penduduk akan dibentangkan untuk kelulusan Kabinet tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Kertas kabinet sudah siap. Kami sedang dalam proses mendapat maklum balas daripada pelbagai kementerian dan kemudian akan membawanya ke kabinet untuk kelulusan," katanya.

Beliau berkata "Pelan Strategik Nasional Bagi Penyakit Tidak Berjangkit" atau NSP-NCD mengandungi tujuh strategi utama - pencegahan, pengurusan klinikal, meningkatkan pematuhan pesakit, tindakan dengan NGO (badan bukan kerajaan), memantau, pembangunan kapasiti dan polisi dan begitu juga peraturan.

"Terdapat penekanan bagi kerjasama antara sektor, termasuk dengan kementerian-kementerian lain, sektor swasta, NGO dan pihak-pihak lain yang berkaitan dalam pelan strategik ini.

"Oleh itu, sasaran saya bagi kementerian ialah menjelang 2020, kita akan dapat meningkatkan jangka hayat penduduk kepada kira-kira 82 atau 83 tahun daripada 76 (wanita) dan 73 (lelaki) pada masa ini,’’ katanya.

Tambah beliau, dengan meningkatkan jangka hayat penduduk, diharap untuk setanding dengan negara-negara maju seperti United Kingdom (80) dan Jepan (85).

- Bernama