Dalai lama 'gilakan' jam tangan
Selain komitmen sepanjang hayatnya terhadap perjuangan rakyat Tibet, pemimpin kerohanian terkenal Dalai Lama mempunyai satu lagi obsesi iaitu jam tangan.
Ketika berusia tujuh tahun, beliau menerima jam tangan pertama -- sebuah jam Rolex emas -- daripada bekas Presiden Amerika Syarikat Franklin D. Roosevelt.
Roosevelt menghantar hadiah itu kepadanya pada 1942 sebagai simbol untuk mewujudkan perhubungan dua hala dengan Tibet.
"Saya sukakan jam tangan. Saya ada 15 utas sekarang, kebanyakannya adalah hadiah. Jam pertama saya dihadiahkan oleh Presiden (Franklin) Roosevelt.
"Saya tidak tahu kenapa saya suka jam. Mungkin kerana saya kelahiran semula Dalai Lama Ke-13. saya diberitahu beliau gemarkan jam saku, rosario dan kuda, tetapi saya takut kuda," katanya kepada Bernama di Dharamsala.
Dengan tubuh berbalut jubah berwarna merah hati dan jingga, Dalai Lama yang boleh dianggap sami paling banyak ditemubual dan diambil gambar, menjalani kehidupan secara amat sederhana bersama pengikut setia di kuil utama McLeod Ganj di Dharamsala.
Menganggap dirinya sebagai Marxis, Dalai Lama, 75, dilahirkan dalam sebuah keluarga petani miskin di utara Tibet dan dinamakan Tenzin Gyatso.
Beliau dipercayai masyarakat Tibet sebagai kelahiran semula Dalai Lama Ke-13, Thubten Gyatso.
Pada 1959 beliau melarikan diri ke India apabila tentera China memasuki ibu kota Tibet, Lhasa bagi membendung kebangkitan nasionalisme, dan bertapak di Dharamsala yang akhirnya menjadi pusat pentadbiran kerajaan dalam buangan Tibet.
Bandar ini yang terletak di Himachal Pradesh, di utara India juga menjadi rumah kepada ribuan rakyat Tibet yang melarikan diri sejak 50 tahun lepas.
--Bernama

