Rayuan Khairy - 23 September ini
Mahkamah Tinggi akan mendengar rayuan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin terhadap penolakan permohonannya untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya dalam kes saman malu bernilai RM100 juta pada 23 September ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Yusof akan mendengar kes berkenaan.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Hilmiah Yusof menetapkan tarikh tersebut ketika bertemu peguam kedua-dua pihak di dalam kamar apabila kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes hari ini.
Pada 31 Mei lalu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nazri Yahya menolak dengan kos permohonan Khairy untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diperolehi Anwar pada 4 Disember 2008, selepas Khairy gagal menghadirkan diri ke mahkamah.
Nazri memutuskan serahan writ saman kepada Khairy adalah sah dan tidak ada merit dalam kenyataan pembelaannya.
Anwar, 63, memfailkan saman itu pada 7 Mac 2008, dengan mendakwa Khairy sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO ketika itu mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya dan membawa kepada penyiaran klip video di beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com. bertajuk ''Anwar and kin no threat''.
Anwar mendakwa kenyataan itu yang dibuat Khairy pada satu ceramah di Lembah Pantai, di sini pada 20 Februari 2008, antara lain bermaksud beliau terbabit dalam aktiviti yang bertentangan dengan Islam, tidak mempunyai perwatakan baik dan tidak layak memegang jawatan politik atau jawatan lain.
- Bernama

