BERITA Malaysiakini

'Pecat pemimpin temui Harussani'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS diingatkan supaya bertindak tegas terhadap pemimpinnya yang mengadakan pertemuan dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria bagi meminta beliau mengusahakan kesatuan parti itu dengan Umno.

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata sekiranya terdapat mana-mana pemimpinnya terlibat walaupun atas kapasiti peribadi, pemimpin berkenaan boleh dikatakan tidak wala' (setia),

khalid samad pas muktamar 2 "Ini kerana dasar parti jelas dan ditegaskan dalam tiga muktamar berturut-turut. Kukuhkan Pakatan Rakyat dan tolak perpaduan dengan Umno!" kata Khalid tanpa menyebut secara langsung nama pemimpin itu.

Setakat ini, isu pertemuan yang didedahkan Harussani itu masih menjadi misteri apabila mufti veteran itu memilih tutup mulut berhubung perkara itu.

Bagaimanapun tersebar di laman-laman blog dan menjadi buah mulut di kalangan pemimpin akar umbinya bahawa pemimpin yang dimaksudkan ialah pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Dr Hasan yang juga exco kerajaan negeri sendiri setakat ini belum tampil mengesah atau menafikan dakwaan itu.

Menulis dalam blognya hari ini, Khalid berkata, tindakan "pemimpin itu" menyulitkan PAS, mengelirukan ahli-ahli dan menimbulkan fitnah di kalangan parti-parti rakan dalam Paktan.

Surat tunjuk sebab

Tambahnya, tindakan tersebut berpotensi untuk melemahkan Pakatan dan pastinya disahut oleh musuh politknya Umno dan parti komponen dalam BN.

azlan "Pemimpin tersebut patut diberi surat tunjuk sebab. Dan sekiranya didapati benar beliau bertemu dengan tujuan tersebut (menyatupadukan Umno-PAS), maka beliau patut diminta tinggalkan parti.

"Dan sekiranya enggan, (hendaklah) dipecat dari parti," katanya lagi.

Khalid - kini masih digantung sebagai ahli jawatankuasa pusat PAS - berkata sekiranya pertemuan itu benar-benar berlaku ia merupakan sesuatu yang malang kerang masih ada pemimpinnya "menganggap Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu".

"Ini bermakna ada pimpinan yang ‘tidak cukup tarbiahnya' (didikan) dan oleh itu mereka perlu diturunkan daripada kedudukan mereka sebagai pemimpin.

"Mereka bukanlah seperti saya, seorang ahli biasa (sehingga hujung bulan ini) tetapi mereka ‘pemimpin' dan oleh itu perlu dipertanggung-jawabkan atas tindakan mereka dengan lebih tegas lagi.

"Kalau tidak, maka (PAS) akan semakin celaru," tambahnya.