mk-logo
Berita
Air, pasir: Pemuda BN minta campurtangan Sultan
Diterbitkan:  Jul 24, 2010 2:39 AM
Dikemaskini: 2:44 AM

Pemuda BN Selangor akan menyampaikan memorandum mengenai isu pasir dan air kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Kayangan di sini Khamis depan.

ceramah selamatkan selangor, klang, noh omar Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata memorandum itu bertujuan meminta baginda menasihati kerajaan negeri Selangor supaya tidak menggadaikan masa depan negeri itu semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

"Sehubungan itu kita mengajak rakyat Selangor bersama-sama mengiringi kita pada hari berkenaan untuk menghantar memorandum tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena Program Jelajah 'Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan' (SSDE) anjuran Umno Selangor di Shah Alam malam semalam.

Turut menyampaikan ceramah ialah bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Senator Mohamad Ezam Mohd Noor; Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Mohamed Satim Diman; Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus; dan Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M Zin.

Mengenai program SSDE itu, Noh yang juga menteri pertanian dan industri asas tani berkata pihaknya telah mendapatkan permit polis bagi ceramah itu.

ceramah selamatkan selangor, klang Beliau berkata, sambutan yang diberikan terhadap ceramah yang telah diadakan di Shah Alam dan Kota Raja sebelum ini mendapat sambutan yang amat baik.

"Sambutan amat mengejutkan dan ramai yang datang, kerana mereka mahu dengar sendiri kepincangan pemerintahan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor terutamanya membabitkan isu pasir dan air," katanya.

Dua ceramah itu adalah sebahagian daripada 19 ceramah yang akan diadakan sehingga 8 Ogos ini dalam siri jelajah anjuran Umno Selangor yang bertujuan menjelaskan mengenai pelbagai isu di negeri ini termasuk dakwaan salah guna kuasa anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd berhubung isu pasir.

- Bernama

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini