Perkhidmatan tren elektrik (ETS) antara Ipoh dan Kuala Lumpur akan beroperasi pada minggu pertama Ogos ini dengan kekerapan lapan perjalanan pergi dan balik setiap hari, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata perjalanan berkenaan akan mengambil masa kira-kira dua jam dan hanya akan berhenti di beberapa buah stesen tertentu.

NONE "Kita terpaksa mengurangkan tempat-tempat berhenti bagi perjalanan ini untuk memastikan perjalanan menepati anggaran masa yang ditetapkan bagi keselesaan pengguna. Setiap perjalanan akan menggunakan satu set keretapi ETS yang mengandungi enam gerabak.

"Setiap gerabak boleh dimuatkan dengan 50 penumpang dan jumlah keseluruhan penumpang bagi setiap perjalanan ialah antara 300 dan 350 orang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di Batu Gajah hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Kompleks yang menelan kos sebanyak RM78 juta itu dibina di atas tanah seluas 60 hektar melibatkan pembinaan pusat pembangunan Akademi KTMB (MyRA), Depoh Penyelenggaraan Tren serta kuarters.

lim kit siang parliament pc 201008 kong cho ha Mengenai kompleks itu, Kong ( kanan ) berkata lebih ramai warga kerja KTMB akan dapat dilatih untuk menjadi tenaga profesional melalui kursus-kursus yang diadakan di akademi berkenaan.

"Kemodenan infrastruktur yang terdapat di kompleks ini membolehkan produktiviti dipertingkatkan apabila tenaga kerja mahir dapat dilahirkan melalui akademi ini. Kementerian Pengangkutan juga optimis kompleks ini akan memainkan peranan penting dalam pembangunan lestari KTMB," katanya.

Selain itu katanya, akademi tersebut juga berperanan sebagai Pusat Kecemerlangan Keretapi Asean (Acer) yang kini dalam perbincangan bersama pengendali-pengendali keretapi negara-negara Asean.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Long See Wool, Pengerusi KTMB, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed dan Presiden KTMB, Dr Aminuddin Adnan.

-Bernama