Isu pasir: Pakatan rugi jika diulas lanjut
Ahli parlimen Kapar S Manikavasagam bimbang isu perlombongan pasir yang membelenggu kerajaan Selangor akan mendatangkan lebih banyak kerugian kepada kerajaan Pakatan Rakyat sekiranya diulas lebih lanjut.
Beliau berkata demikian hari ini ketika ditanya mengenai dakwaan yang ditimbulkan oleh pemimpin Umno negeri bahawa syarikat yang mendapat lesen melombong pasir di negeri itu mungkin dinaungi oleh pemimpin PKR tertentu
Dakwaan itu ditimbulkan timbalan pengerusi Umno negeri Datuk Noh Omar dalam satu daripada ceramah program 'Selamatkan Selangor' yang bermula hujung minggu lalu.
"Tidak, saya tidak tahu tentang itu (dakwaan naungan pemimpin PKR). Saya cuma terima aduan daripada orang kampung, mereka kata tanah peninggalan arwah datuk nenek mereka ada orang korek untuk pasir," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Manikavasagam juga berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya dakwaan seperti itu untuk diputuskan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) untuk memutuskan sekiranya berlaku kegiatan seperti itu.
"Sudah cukuplah apa yang saya buat. Orang kata sebab saya, orang BN pun sudah gunakan isu ini (untuk serang kerajaan semula)," katanya lagi.
Manikavasagam merupakan individu yang bertanggungjawab membuat laporan polis pada pertengahan Mei lalu berhubung dakwaan bahawa pegawai kanan di Kuala Semesta Sdn Bhd terlibat dalam operasi perlombongan secara haram.
Dalam laporan polisnya, beliau mendakwa, antara lain mereka bertanggungjawab terhadap kerugian RM10 juta kerana salah-urus dan mendakwa mereka mengeluarkan permit kepada pengusaha lombong pasir haram.
Rentetan daripada itu, Selcat mengadakan inkuiri selama tiga hari, bermula 4 Jun, untuk menyiasat dakwaan rasuah terhadap syarikat lombong pasir milik kerajaan negeri Selangor KSSB.
Hasil daripada pendengaran itu, tiada bukti menunjukkan berlakunya rasuah, kata pengerusi jawatankuasa pilihan khas itu Teng Chang Khim.
Namun, beliau bersetuju berlaku salah pengurusan di KSSB yang ditubuhkan oleh pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menangani perlombongan pasir secara haram di negeri ini.
Teng juga belum menetapkan tarikh seterusnya bagi pendengaran Selcat bagi kes berkenaan.
Menurut Manikavasagam, kenyataan yang dikeluarkan oleh Teng itu hanyalah pandangan peribadinya dan bukan keputusan inkuiri Selcat.
"Itu hanya kenyataan daripada pengerusi Teng Chang Khim sahaja. Selcat belum putuskan apa-apa.
"Saya sudah lakukan tugas saya. Terserahlah kepada Selcat untuk membuktikan sama ada berlaku (seperti didakwa)," katanya lagi.

