Selepas kempen pusingan pertama 'Selamatkan Selangor' oleh Umno negeri itu tamat Ahad ini, tiga hari kemudiannya, giliran Pakatan Rakyat pula membuat serangan balas bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam 19 siri ceramah sepanjang kempen tersebut.
Menariknya, penerangan balas kerajaan Pakatan melalui Skuad Komunikasi Selangor (SKS) akan dimulakan pada hari pertama umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan - dijangka 11 Ogos.
Pada masa yang sama, Umno - melalui Sekretariat Selamatkan Darul Ehsan (SSDE) - pula memilih berehat sepanjang bulan puasa, sebelum menyambung semula kempen fasa keduanya selepas Hari Raya Aidilfitri yang pada pertengahan September.
"Kita (Pakatan) akan mulakan kuliah di masjid-masjid seluruh Selangor. Kita akan edarkan risalah penerangan.
"Paling kurang pun, kita minta buat tazkirah sekurang-kurangnya 30 minit," kata pengarah penerangan di pejabat menteri besar Selangor Badrul Amin Bahron ( kanan ).
Bermula 23 Julai lalu, Umno Selangor menganjurkan siri jelajah fasa pertama di seluruh Selangor bagi menjelaskan mengenai "pembohongan kerajaan Pakatan" terhadap rakyat di negeri itu, antaranya menampilkan bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor.
Selain membangkitkan isu-isu berkaitan Anwar - yang juga penasihat ekonomi negeri - isu lain yang sering ditimbulkan dalam siri-siri ceramahnya berlegar sekitar pertadbiran hasil pasir di negeri itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Badrul berkata pihaknya memilih membuat penerangan di masjid-masjid sepanjang bulan Ramadan memandangkan pada masa itu ramai umat Islam berkumpul bagi beribadat.
Umno: Fasa kedua tanpa isu pasir
Badrul Amin juga menjelaskan selepas kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM15 juta untuk tujuan penerangan negeri, pihaknya akan menaikkan edaran akhbar negeri Selangorkini berkali ganda bagi menjawab dakwaan pembangkang negeri.
"Daripada 60,000, kita jangkakan meningkat kepada 300,000 naskhah diedarkan selepas hari raya Adilfitri nanti," katanya penceramah terkenal itu yang juga ahli majlis pimpinan pusat PKR.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Selangor Shukor Idrus ( kiri ) pula berkata setelah bekerja keras hampir tiga minggu menjelajah seluruh negeri, respons yang diperoleh begitu memuaskan.
Katanya, keberkesanan program Selamatkan Selangor dapat diukur daripada sambutan orang ramai dalam ceramahnya di beberapa tempat yang melebihi jumlah sasaran, seperti di Klang dan Kota Raja.
"Kita sasarkan 1,000 sahaja (setiap ceramah), tetapi di sesetengah tempat jumlahnya sampai 2,000 orang yang hadir," katanya yang juga ADUN Kuang.
Ditanya tentang isu pasir akan ditimbulkan lagi dalam siri kempen fasa keduanya bagi merampas semula negeri itu, Shukor berkata setakat ini maklumat yang hendak disampaikan sudah berjaya.
"Fasa kedua nanti kita fokuskan isu yang lain pula," katanya kepada Malaysiakini hari ini.