Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa hari selepas pengetua sebuah sekolah menengah di Johor dituduh mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, kejadian yang sama turut berlaku di sebuah sekolah di Sungai Petani.

Pengetua berkenaan didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dalam majlis perhimpunan rasmi di sebuah sekolah luar bandar di Sungai Petani, Rabu lalu.

Kata-kata itu diluahkan di depan lebih 500 murid tingkatan satu hingga lima serta kira-kira 45 guru pelbagai kaum semasa membuat teguran terhadap pelajar bukan Islam agar menghormati pelajar Islam yang berpuasa di bulan Ramadan.

   

Antara frasa yang mencetuskan kontroversi itu ialah "pindah ke negeri lain" dan "balik ke China."

Menurut sumber, pengetua yang berasal dari negeri Johor itu dikatakan telah mengingatkan pelajar bukan Islam di sekolah berkenaan yang mempunyai tiga kaum minoriti iaitu Cina, India dan Siam supaya menghormati rakan-rakan beragama Islam yang sedang berpuasa agar tidak makan di depan mereka.

   

Sumber itu berkata, pengetua berusia awal 50-an itu menegur perbuatan yang tidak wajar dilakukan oleh pelajar bukan  Islam iaitu makan di depan pelajar Islam dan jika mereka tidak mahu menghormatinya, mereka boleh "pindah ke negeri lain" atau "balik ke China."

   

"Para pelajar dan guru yang berada di dewan terbuka sekolah itu dapat mendengar dengan jelas kata-kata berbaur rasis itu.

"Selaku pentadbir organisasi, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menjarakkan hubungan etnik sekolah itu yang agak unik," kata sumber itu.

    

Menurutnya, komposisi kaum di sekolah itu yang rata-rata dari kalangan pelajar berlatarbelakangkan taraf sosioekonomi yang rendah agak menarik kerana memiliki empat kaum iaitu Melayu/Islam, Cina/Buddha, India/Hindu dan Siam/Buddha.

   

"Sejak sekolah itu wujud di kawasan yang di kelilingi estet getah, kelapa sawit, kebun sayur dan kampung pada 1980-an, belum ada peristiwa buruk melibatkan etnik terbabit berlaku di situ," katanya sambil menambah pelajar di situ amat akrab antara satu kaum dengan yang lain.

   

Malahan. beberapa pengetua yang bersilih ganti di situ juga tidak pernah menimbulkan kontroversi.

   

"Hubungan murid, ibu bapa dan guru amat baik. Malah, beberapa siri pertemuan bersama,waris seperti mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta hari Konferensi Waris mendapat respon yang baik daripada ibu bapa dan waris," katanya.

   

Pengetua lelaki itu dikatakan pernah berkhidmat di daerah pendidikan Kulim/Bandar Bharu sebelum memulakan perkhidmatan di sekolah luar bandar yang terletak di pekan kecil Bukit Selambau, kira-kira 26 km dari Sungai Petani itu mulai awal 2009.

ADS