'Pakatan serang institusi Melayu bagi kukuh kuasa'
Timbalan pengerusi Umno Selangor Datuk Noh Omar melihat kaedah pengukuhan kuasa Pakatan Rakyat pada masa sekarang, dibuat melalui serangan ke atas institusi berkaitan Melayu - Biro Tata Negara (BTN) dan Felda.
Serangan juga diarahkan kepada institusi kehakiman bagi mewujudkan persepsi di kalangan masyarakat bahawa "ini hip hop punya mahkamah," kata Noh dalam satu wawancara dengan Malaysiakini .
Sebab itulah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sengaja melengah-lengahkan perbicaraan kes liwat yang dihadapinya, dakwa Noh yang juga menteri pertanian dan industri asas tani.
Noh ( kiri ) menambah, Pakatan sebelum ini berjanji tidak mengamalkan kronisme sekiranya memerintah Selangor, namun apa yang berlaku sekarang menunjukkan keadaan sebaliknya.
Beliau juga menyifatkan pentadbiran diterajui menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim itu "sudah banyak tahi" walaupun baru dua tahun mentadbir negeri itu.
Noh mendakwa tindakan exco kerajaan menyekat projek-projek persekutuan di negeri itu memburukkan lagi keadaan.
Tambahnya, isu perobohan kuil -- melibatkan sensitiviti agama dan kaum di negeri itu juga "dipolitikkan dengan kuat" berbanding ketika pentadbiran BN.
Beliau turut mendakwa berlakunya perpecahan di kalangan pemimpin dalam setiap parti yang menganggotai Pakatan - keadaan yang membawa masalah kepada pentadbiran negeri.
Berikut sedutan wawancara Malaysiakini dengan Noh:
Boleh Datuk bandingkan prestasi Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Khir Toyo?
Prestasi ini tidak adil kalau kita hendak bandingkan macam budak dua tahun nak bandingkan dengan budak enam tahun, tidak sama. Khalid baru dua tahun memerintah pun dah banyak tahi dah. Banyak kelam kabut Selangor yang dia buat macam dilanggar garuda. Exconya kelam kabut, semuanya kelam kabut. Nak kata rasuah, (kata) dulu kita kroni, dia pun banyak kroni dah.
Khir Toyo dulu lapan tahun, Saya ingat (Khalid) tak sampai lapan tahunlah (bertahan). Pilihan raya ke 13 ini akan tukar menteri besar barulah.
Azmin pun kata dia tak layak jadi menteri besar, bukan saja kita (kata). Orang PKR pun kata dia tidak layak, sebab itu Azmin jadi pengerusi perhubungan PKR. Bayangkanlah bila mesyuarat pengerusi perhubungan, Azmin duduk di depan sini. Khalid duduk di belakang sana. Bila mesyuarat kerajaan negeri, Khalid duduk di sini, Azmin duduk di belakang sana pulak. Jadi saya tengok, cara dalam parti dia pun dah kelam kabut.
Apa isu yang membelenggu kerajaan negeri sekarang?
Saya kalau nak cakap pasal isu di selangor ni banyak bukan saja janji pilihan raya tapi present issue (isu semasa) yang dia main, umpamanya isu pasir. Mengapa ada satu syarikat yang diberi pilih kasih, diberi cukup banyak keistimewaan, diberi diskaun yang lebih. Orang lain hanya diberi 50 sen satu tan, tapi dia diberi RM4 satu tan.
Dia kata syarikat Melayu tak mampu bayar deposit sehingga 400 ribu ringgit, tetapi ada syarikat tertentu yang dapat istimewa tak perlu keluar deposit. Dia bawak keluar pasir, macam pasir bapak di saja.
Jika BN buat perkara ini dia akan kata pilih kasih, rasuah, kronilah. Tapi bila dia pilih satu syarikat ni ini lah kronisme. Mengapa dia tak terangkan, ke mana duit syarikat ini pergi? Saya tak mahu tuduh tapi mungkinlah yang kroni inilah yang mengagihkan political fund (dana politik) kepada parti-parti politik. Kalau disebabkan boleh keluarkan seratus ribu metrik tan, takkan satu syarikat saja boleh buat. Banyak syarikat lagi boleh buat.
Sejauh mana usaha Selangor menjalankan pembangunan infrastruktur negeri?
Rakyat kena sedar bahawa dari pembangunan negeri selangor memang jelas terbantut. Contohnya kementerian saya ada buat dua tender, dah mula buat dah pun, dah nak siap dah. Satu dia panggil projek terusan feeder bernilai RM5 juta. Ini untuk mengelakkan air gambut dari masuk ke dalam sawah.
Yang kedua kita nak buat kolam takungan air. Ini kos RM25 juta. Kita bagi duit. Masalahnya, bila kita masuk tanah, memanglah kita maklum kepada kerajaan negeri. Tapi maklum dah lama tak ada apa-apa jawapan. Jadi kita jalankanlah projek, takkan nak tunggu jawapan terlalu lama.
Jadi bila kita mula, kita buat, projek dah nak siap, (tiba-tiba) wah kerajaan negeri ganggu, dan bawa ke dalam mesyuarat exco! Tapi dalam mesyuarat exco dia tak buat keputusan. Dia suruh Elizabeth Wong untuk selesaikan isu ini. Elizabeth Wong kemudiannya letak macam-macam syarat. Dia denda kementerian sebanyak RM800,000. Kemudian ada sepuluh mesin disita. Kita kena bayar kompaun jika nak keluarkan mesin.
Satu lagi ialah (projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2) dekat Langat. Orang cerita masalah rakyat akan kekurang air pada tahun 2014, dia pergi cerita pasal projek, siapa yang dapat projek. Tak kira lah siapa dapat projek itu, yang pentingnya rakyat. Kalau pun kerajaan negeri buat, mesti ada syarikat yang buat. Takkan hantu yang buat projek itu.
Ini nak pusing cerita kroni BN. Ini projek usahasama dengan Jepun, bukan senang syarikat yang nak dapat. Bukan syarkat biasa yang dapat. Jangan timbul pasal kroni. Kalau projek persekutuan syarikat kroni, negeri tak beri kerjasama.
Kalau macam itu semua projek tak boleh jalan. Macam ini memang Selangor tak boleh maju. Kalau tender kerajaan BN tak boleh sebab semua syarikat dituduh kroni, Nak buat macam mana? Kalau tak beri syarikat buat. Bagi syarikat hantulah buat atau bagi kerajaan negeri buat. Macam itu barulah dia seronok.
Jadi apa masalah sebenar antara Selangor dengan kerajaan persekutuan?
State (negeri) dengan federal (pusat) tak ada kerjasama. Bila tak ada kerjasama, yang ruginya adalah rakyat. Ini pelik, menteri besar ini. Saya rasa dia tak ada sistemlah MB ni (sebab) mana-mana exco yang dia nak suruh selesaikan, dia suruh yang tiada kaitan.
Saya tak faham mengapa, Elizabeth Wong ini dia exco alam sekitar, tapi isunya bukan isu alam sekitar sangat. Isunya (ialah soal) pertanian. Kenapa dia tak bagi kepada Yaakop Sapari, exco pertanian.
Macam saya bergaduh dengan Ronnnie Liu pasal tanah bina rumah nelayan. Ini masalah nelayan Ronnie Liu pulak masuk campur. Ini masalah pertanian, biar selesai secara pertanian bukan secara perbandaran.
Dulu dia nak guna duit zakat sebab dia kata kita tak bagi duit. Sekarang kita bagi duit untuk projek dia tak mau. Kalau nak bagi duit masuk dalam kantung dia sorry la. Itu tak adalah kita nak buat macam itu.
Bagaimana Datuk lihat pendekatan yang diambil Pakatan dalam menangani isu melibatkan isu perobohan kuil di Selangor yang melibatkan isu sensitiviti kaum dan agama?
Isu roboh kuil ini sekarang pun berlaku juga, tinggal lagi dulu dipolitikkan begitu kuat. Sekarang tidak begitu dipolitikkan. Roboh kuil ini daripada dulu lagi, sudah biasa. Tapi tidak dijadikan isu politik, ia dibuat secara harmoni, aman dengan ganti tapak, ini biasa. Bukan kata kuil, rumah kita pun kalau kerajaan nak (buat pembangunan), kerajaan akan runtuhkan. Sebab pada zaman Khir Toyo ia dijadikan isu politik.
Kalau (tengok) isu kepala lembu. Takkanlah (kerajaan negeri) tidak tahu sensitiviti nak buat kuil dalam kawasan orang Melayu. Akhirnya orang-orang ini protes, sebenarnya budak yang protes ini dah kena denda, didapati bersalah pula di mahkamah.
Ketika zaman Khir Toyo dulu saya ingat tak adalah sampai begini dia buat. Sebab lama (memerintah) mungkinlah (ada kesilapan). Ini baru pun ada kesilapan.
Kenapa pengundi perlu memilih BN semula dalam pilihan raya akan datang sekiranya kedua-duanya ada kesilapan?
Yang pertama kita hendak yakinkan rakyat kalau hendak tengok Selangor jadi negeri maju, kita kena senada antara kerajaan negeri dengan persekutuan. Kalau tidak kita boleh tengok, federal buat pembangunan tapi negeri tak beri kerjasama, rakyat yang akan rugi.
Yang kedua kita akan beritahu persepsi. Dulu dia jadi pembangkang mudah. Sekarang ini kita jadi pembangkang. Rupanya jadi pembangkan ini lebih senang. Saya tengok jadi pembangkang ini lebih senang bercakap. Gunakan lidah dengan liur saja.
Saya tengok memang jadi trend rakyat untuk dengar pembangkang bercakap. Dulu waktu kita jadi kerajaan, orang buat ceramah orang tak datang dengar. Tapi bila kita jadi pembangkang, kita buat ceramah ramai orang datang.
Bagaimana kes perbicaraan liwat yang dihadapi Anwar akan beri kesan kepada sentimen pengundi kali ini?
Saya tidak mahu ulas lagi kes sebab jadi subjudis kerana kes ini masih di mahkamah. Hanya kesan politiklah. Dia mengambil kesempatan untuk melambat-lambatkan kes ini untuk menanam satu keyakinan kepada rakyat supaya apa juga keputusan yang mahkamah akan buat ialah satu keputusan yang telah dirancang.
Sebab itu saya tengok, ini pandangan peribadi saya, kes (Tian Chua) kenapa Karpal Singh desak dan mengatakan Tian Chua patut kosongkan kerusi (parlimen Batu) itu bila dia kena denda RM2,000, kes gigit polis itu.
Dia mahukan pilihan raya kecil diadakan di Batu. Kalau berlaku pilihan raya kecil di Batu, isu kempen yang akan dibuat pembangkang ialah isu berkaitan kehakiman. Mereka akan bantai mahkamah, bagaimana hakim buat keputusan dan sebagainya.
Kredibiliti mahkamah itu nanti akan dijadikan isu utama dalam kempennya, sebab dia nak tanamkan kepada rakyat bahawa ini hip hop punya mahkamah, mahkamah kangaroo. Kalau rakyat percaya kempen ini nanti, apa juga keputusan yang dibuat ke atas Anwar Ibrahim rakyat tidak akan percaya dengan keputusan mahkamah.
Selain institusi kehakiman?
Seperti yang (ahli parlimen Kulim-Bandar Baru) Zulkifli Noordin cakap, dia akan serang institusi kita, mana institusi yang sering bercakap tentang orang Melayu? BTN. Dia akan serang BTN.
Selangor tak ada BTN, dia buat kursus dia sendiri tapi sebenarnya ada muslihat sebelah itu. Kalau orang masuk BTN, kawan-kawan dia tak boleh cari makan. Sekarang dia buat kursus apa namanya (pembangunan modal insan) SPIES, tanya SPIES, siapa yang jalankan kursus SPIES ini?
Bagaimana cara lantikan dibuat oleh syarikat yang buat kursus SPIES ini, kalau bukan geng kawan-kawan dia yang buat. Ada dia buat open tender ? Ini semua ada muslihat dia.
Sekarang dia tengok lagi di mana Melayu kuat? di Felda? Dulu dia kalah di Hulu Selangor punca dia kalah kerana undi orang Felda kuat, dia bantai Felda untuk dia pecahkan. Sekarang dia serang Felcra.
Inilah caranya dia hendak pecah belahkan institusi-institusi yang mana orang Melayu bergantung. Sebab dia tahu selagi Melayu bersatu dia tidak boleh menang. Kalau dia boleh pecahkan dua Melayu ini dia akan menanglah.

