BERITA

PERKASA: Bukan kerana kami sokongan BN terhakis

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Sep 2010, 9:22 pagi

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menafikan dakwaan bahawa kewujudan kumpulan pendesak Melayu itu punca Umno kehilangan sokongan ramai.

NONE “Kenyataan Tengku Adnan (Mansor) bahawa sesetengah tindakan PERKASA tidak gembirakan Umno kerana PERKASA menghakis sokongan rakyat kepada Umno adalah sangat angkuh,” kata setiausaha agung PERKASA, Syed Hassan Ali dalam satu kenyataan.

Katanya, kehilangan sokongan Umno adalah tindakan parti itu sendiri yang tidak mahu berubah.

“Saya ingatkan Tengku Adnan bahawa sesetengah tindakan Umno dan BN sendiri sekarang semakin menjauhkan pengundi kepada mereka. Mereka sendiri yang membuatkan diri mereka hilang sokongan.

“PERKASA hanya menegur supaya mereka (Umno dan BN) sedar akan tindakan-tindakan mereka  yang tidak betul. Tetapi kalau nak anggap ia (teguran PERKASA) sebagai semakin menjauhkan sokongan rakyat kepada Umno dan BN terpulanglah,” kata Syed Hasan.

umno agm 2009 tengku adnan mansor pc 200309 02 Beliau mengulas wawancara Tengku Adnan di mana setiausaha agung Umno itu dilaporkan berkata BN akan meletakkan calon bagi menentang presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali di kerusi parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum akan datang.

Pada wawancara itu, Tengku Adnan berkata tidak ada sebab bagi Umno menyokong Ibrahim dan mendakwa tindakan pergerakan itu adalah punca sokongan bukan Melayu kepada BN terhakis.

Pada pilihan raya umum 2008, Ibrahim yang tidak mempunyai parti memenangi kerusi Pasir Mas atas tiket PAS tetapi beliau kemudiannya berpaling tadah dan menyerang parti Islam itu.

Ibrahim kemudiannya menubuhkan PERKASA yang didakwanya mempunyai lebih 50,000 ahli dan kebanyakan mereka adalah ahli Umno.

azlan Mengenai ikrar Tengku Adnan untuk meletakkan calon Umno menentang Ibrahim, Syed Hassan berkata dia sangat hairan sebagai seorang yang begitu penting dalam Umno, Tengku Adnan ‘begitu berani’ mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

“Sebelum itu saya nak tanya kepada Tengku Adnan, bila masa PERKASA minta kerusi Parlimen Pasir Mas diberi laluan kepada Datuk Ibrahim Ali dengan tiada calon BN diletakan bersaing sama.? “ soalnya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.