Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM seru sambut Aidilfitri dalam suasana harmoni
Diterbitkan:  Sep 9, 2010 5:00 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menyeru supaya sambutan perayaan di negara ini terus diadakan dalam suasana harmoni supaya generasi masa depan dapat menghargai kepelbagaian agama dan budaya, sekaligus menyemai perasaan cintakan negara.

NONE Sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia, beliau turut mengingatkan bahawa kebahagiaan sambutan yang dikecapi hari ini adalah hasil perpaduan serta toleransi yang telah dibina sejak sekian lama.

"Dalam semangat muhibah sempena Aidilfitri ini, marilah kita sama-sama memohon maaf, melupakan segala persengketaan dan memperkukuhkan jalinan perpaduan antara masyarakat majmuk di negara kita," katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut esok.

Beliau berkata, sambutan Aidilfitri, seperti juga Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Wesak dapat menyemai semangat bersatu-padu dan berharmoni di antara masyarakat berbilang kaum.

Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan serta pegawai dan kakitangan awam yang telah memberi sumbangan menjaga keamanan dan keselamatan negara, serta memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

Beliau menyeru supaya budaya kunjung-mengunjung yang menjadi budaya unik masyarakat Malaysia diteruskan untuk mengeratkan silaturrahim, serta menggalakkan suntikan semangat 1Malaysia dalam menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS