Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Kelantan, PERKASA tiada masalah
Diterbitkan:  Sep 16, 2010 7:42 PM
Dikemaskini: Sep 17, 2010 1:55 AM

Hubungan antara anggota Umno Kelantan dengan Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA) tidak mempunyai masalah kerana mereka yang menganggotai PERKASA sebahagian besarnya juga adalah terdiri daripada anggota Umno, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata yang berbeza ialah beberapa perkara yang diperjuangkan oleh PERKASA mengenai kepentingan orang Melayu, tidak boleh diterima oleh Umno.

"Ini kerana Umno mempunyai tanggungjawab yang lebih besar bagi menjaga kepentingan semua kaum di negara ini," katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra Aidilfitri dan penubuhan Persatuan Mahasiswa Daerah Bachok (PERSADA) di Tangok di Bachok hari ini.

Lebih 300 orang pelajar yang sedang menuntut di pelbagai institut pengajian tinggi awam dan swasta menyertai majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Umno bahagian Bachok, Datuk Dr Ilias Hussain.

Awang Adek yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata Perkasa menyamai dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain yang mempunyai hubungan baik dengan Umno.

"Di Bachok sendiri hampir keseluruhan anggota PERKASA terdiri daripada anggota Umno bahkan ada yang menduduki jawatan penting dalam badan NGO ini.

"Walaupun perjuangan Umno dengan Perkasa hampir sama iaitu memperjuangkan nasib orang Melayu berdasarkan Perlembagaan Negara, tetapi ada yang didesak oleh PERKASA, Umno tidak boleh menerimanya kerana perjuangan Umno berlandaskan amalan kesederhanaan," katanya.

Beliau berkata hakikat itu perlu difahami oleh rakyat Kelantan terutama oleh anggota Umno supaya mereka tidak dimanipulasi oleh sesetengah pihak lebih-lebih lagi parti pembangkang.

--Bernama

ADS