Tindakan afirmatif akan diteruskan di bawah Program Transformasi ekonomi (ETP) tetapi ia akan didefinasikan semula untuk menjadi lebih telus dan adil, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

    

Katanya perkara yang telah termaktub di dalam perlembagaan terus kekal.

bumiputera malaysia people market chart Beliau berkata golongan Bumiputera yang tidak memerlukan bantuan perlu bersaing pada aras yang sama dengan bukan Bumiputera.

    

"Ini adalah cara bagaimana kita menjadi kukuh sebagai sebuah negara," katanya pada sidang media pada Hari Terbuka ETP di ibunegara hari ini.

    

Semasa ditanya mengenai keadaan golongan bumiputera yang berjaya sekarang, Idris, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (PEMANDU), berkata kerajaan tidak memilih seseorang pemenang tetapi akan memastikan peraturan adalah jelas.

    

Sementara itu, ETP menyasarkan menggandakan tiga kali Pendapatan Negara Kasar (GNI) negara ini daripada RM660 bilion pada 2009 kepada RM1.7 trilion pada 2020, yang diterjemahkan kepada peningkatan per kapita GNI daripada RM23,700 kepada sekurang-kurangnya RM48,000.

    

Negara ini dijangka mengembangkan Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) pada kadar 6.0 peratus setahun setiap tahun antara 2011 dan 2020 bagi mencapai sasaran GNI.

    

bumiputera equity and money Mengenai gaji minimum, Idris berkata perkara itu akan dilaksanakan tetapi persoalan itu adalah pada jenis medel yang diperlukan.

Katanya terdapat banyak kepentingan yang bertentangan dan terdapat juga idea bagi melaksanakan perkara itu berasaskan wilayah dan sektor.

    

Petunjuk Pestasi Utama bagi Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam ialah bagi melaksanakan gaji minimum menjelang tahun depan, katanya.

    

Mengenai Talent Corporation Malaysia, yang sepatutnya menarik ahli profesional Malaysia di seberang laut balik ke negara ini, Idris berkata

kerajaan masih mencari calon Ketua Pegawai Eksekutif dan satu pasukan untuk menguruskannya.

    

Katanya Malaysia juga tidak sepatutnya merasa malu untuk membawa masuk pegawai dagang berkualiti bagi menyumbang kepada ekonomi negara ini.

"Di dalam ekonomi global, kita perlu mempunyai bakat terbaik bagi membantu kita menggerakkan negara ini ke hadapan.

    

"Saya ingin melihat seramai mungkin rakyat Malaysia memenuhi 3.3 juta pekerjaan yang diwujudkan di bawah ETP. kita perlu mencari cara seperti menarik diaspora Malaysia (rakyat malaysia yang bekerja di luar negara) dan membawa masuk pegawai dagang (expatriate)," katanya.

   

- Bernama