Pinjaman RM2.2 b sedang dimuktamadkan
Perbendaharaan sedang memuktamadkan perjanjian pinjaman RM2.2 bilion untuk membiayai pembinaan jambatan kedua di Pulau Pinang, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai.
"Masih terdapat beberapa isu yang kami perlu selesaikan. Ia berkaitan dengan isu-isu undang-undang dalam perjanjian itu.
"Oleh kerana ia adalah pinjaman rentas negara, pihak-pihak yang terlibat masih dalam proses memutuskan bidang kuasa undang-undang yang mana akan digunakan sebagai asas perjanjian," katanya pada Forum Ekonomi Orang Cina Dunia kedua di Seri Kembangan, hari ini.
Perjanjian pinjaman itu adalah antara Export and Import Bank of China dan Jambatan Kedua Sdn Bhd, anak syarikat Kementerian Kewangan.
Kementerian itu adalah penjamin pinjaman tersebut.
Mengulas forum tersebut, Lim berkata, sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk mempamerkan kepada dunia akan daya saing dan daya penarik dalam menjalankan perniagaan di Malaysia.
"Ia menyediakan peluang kepada kita untuk mempelajari daripada kebijaksanaan para penceramah dan menimba pengalaman daripada pengetahuan yang berguna," katanya.
Dalam separuh pertama tahun ini, perdagangan dua hala Malaysia-China mencecah AS$35 bilion, naik 67 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu.
"China menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan melebihi US$36 bilion tahun lepas, mengatasi Singapura, rakan dagangan terbesar tradisi kita," katanya.
Dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI), kira-kira 500 delegasi dijangka menghadiri forum selama dua hari itu bermula 2 November.
"Kami berharap forum tersebut akan menggalakkan interaksi lebih rapat antara usahawan Malaysia dan kumpulan pemikir dari China.
"Kami menjangka forum tersebut akan menghasilkan lebih banyak usaha sama dan dagangan dua hala," kata ketua Pegawai Eksekutif ASLI, Datuk Dr Michael Yeoh.
- Bernama

