Taman Alyssa dilanda banjir lumpur bila hujan
Pemilik rumah Taman Alyssa di Taman Tunku Sarina, Bandar Darulaman di Jitra, Kedah mengeluh dan terpaksa menanggung kerugian kerana rumah mereka dimasuki banjir lumpur setiap kali hujan lebat berlaku.
Pengerusi Badan Amal dan Kebajikan Taman Alyssa, Hamdan Hamid berkata banjir lumpur berlaku sejak pemaju perumahan Taman Tunku Sarina, Darulaman Realty Sdn Bhd (DRSB) melaksanakan projek 'Alyssa 3' tahun lepas.
"Apabila hujan lebat, air dari bukit bersebelahan Taman Alyssa yang sedang diratakan untuk membina 'Alyssa 3' turun membawa bersama lumpur memasuki dua deretan rumah banglo Taman Alyssa.
"Kami telah beberapa kali mengadu kepada DRSB, pegawai daerah Kubang Pasu serta wakil rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Jitra, Datuk Saad Man, namun tiada tindakan daripada mereka," katanya kepada pemberita di Jitra hari ini.
DSRB ialah anak syarikat Bina Darulaman Berhad, syarikat milik kerajaan Kedah yang terbabit dengan projek pembangunan hartanah dan perumahan dan juga pemaju Bandar Darulaman.
Semalam, hujan lebat hampir sejam bermula 6.30 petang menyebabkan banjir lumpur dan air naik sehingga 0.4 meter melanda 15 buah rumah Taman Alyssa.
Menurut Hamdan, kejadian malam tadi adalah yang ketiga melanda pemilik rumah taman itu.
Seorang mangsa, Jaffri Ibrahim, 33, berkata beliau kerugian hampir RM30,000 apabila semua perabot baru, peralatan elektrik, permaidani dan katil tidak sempat diselamatkan kerana air bersama lumpur masuk rumahnya terlalu cepat.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata air mencecah paras lutut memasuki rumahnya menyebabkan beliau dan isterinya tidak sempat menyelamatkan barang-barang mereka.
Pegawai Perhilitan Perlis, Mohamad Kamaruddin, 54, pula kerugian lebih RM5,000 berikutan air lumpur hampir 0.3 meter memasuki rumahnya, menyebabkan perabot dan peralatan elektrik, simen serta pasir yang dilonggokkan di hadapan rumah untuk kerja-kerja pengubahsuaian rosak.
Kemuncak kemarahan penduduk terbabit, mereka memanggil wakil-wakil DRSB, Pejabat Daerah serta Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) hari ini untuk menyelesaikan masalah itu.
Pentadbir Tanah Kubang Pasu, Mohd Fisol Mohd Noh ketika dihubungi Bernama berkata beliau telah mengeluarkan notis memberhentikan sementara pengeluaran tanah di tapak projek tersebut sehingga pemaju menyelesaikan tuntutan penduduk.
Hamdan berkata penduduk bercadang menyaman DRSB untuk menuntut kerugian dan akan meneruskan dengan tindakan saman sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.
- Bernama

