Edisi Bahasa Cina Mkini sambut ulangtahun ke-5
Persidangan pertama Media Baru Cina Asia di Petaling Jaya hari ini menarik penyertaan kira-kira 100 pengamal media baru dan ahli akademik terkemuka dari China, Hong Kong, Taiwan, Macau, Singapura dan Malaysia.
Menurut pengasas dan editor Edisi Bahasa Cina
Malaysiakini
Yong Kai
Ping, persidangan itu bertujuan untuk menyediakan ruang perbincangan antara pertubuhan serantau media baru Cina.
"Sambutan terhadap persidangan ini sangat baik. Malah, kami terpaksa menolak banyak penyertaan lain yang amat berminat untuk hadir.
"Ini menunjukkan wujud minat yang sangat besar untuk membincangkan peranan media baru Cina dalam mempromosikan demokrasi, kebebasan akhbar dan menambahbaik industri kewartawanan," kata Yong.
Menurutnya, tidak terdapat banyak perbincangan peringkat serantau mengenai media baru Cina dan persidangan terakhir seumpamanya yang pernah diadakan, adalah lebih kecil, di Hong Kong empat tahun lalu.
Yong berkata, berbeza dengan media baru Inggeris, di mana banyak
penyelidikan dan perbincangan telah diadakan, media baru Cina, belum menarik tahap wacana yang seperlunya.
Kira-kira 20 kertas kerja dibentangkan di persidangan tersebut, termasuk perbincangan mengenai cabaran yang mereka hadapi seperti mengenai soal kawalan dan pembiayaan kewangan.
Persidangan tersebut adalah sebahagian daripada sambutan ulangtahun kelima Edisi Bahasa Cina Malaysiakini. Acara kemuncaknya ialah majlis makan malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Isnin ini.
Ia diadakan untuk mengumpul dana bagi membantu Kumpulan Sokongan Wartawan dan Penulis bagi Masyarakat Asal, yang baru ditubuhkan, bertujuan untuk mengetengahkan nasib masyarakat asal yang kini terpinggir.
Majlis makan malam itu akan diserikan dengan beberapa persembahan
kebudayaan oleh kumpulan masyarakat asal serta dokumentari mengenai penderitaan suku kaum Penan yang terpaksa meninggalkan hutan kediaman mereka untuk memberi laluan kepada pembinaan projek kontroversi Empangan Bakun.
Edisi Bahasa Cina Malaysiakini dilancarkan pada 25 Julai 2005 dan kini dikendalikan oleh tiga editor dan lima wartawan sepenuh masa.
Sejak lima tahun lalu, ia menjadi salah sebuah portal berita Cina paling popular di negara ini, dengan menarik 60,000 pembaca setiap hari. Ia juga menarik 37,000 pengikut di Facebook dalam jangka pendek lima bulan sahaja.

