Wanita MCA terima pakai enam resolusi
Mesyuarat agung Wanita MCA kali ke-35 hari ini menerima pakai enam resolusi meliputi 21 perkara di bawah usul politik, hal ehwal kerajaan, parti, pelajaran, ekonomi, wanita, sosial dan keselamatan dan juga agama.
Antara lain, usul yang diluluskan sebulat suara itu adalah bagi meminta kerajaan melaksanakan undang-undang anti pemerdagangan manusia bagi mengekang kegiatan membabitkan wanita dan kanak-kanak.
Perhimpunan itu juga mendesak kerajaan agar melaksanakan 30 peratus wakil wanita dalam pelan tindakan di semua peringkat membuat keputusan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi memastikan penyertaan adil wanita dalam pelbagai sektor terutama kuota 30 peratus dalam politik.
Mengenai pelajaran, mereka berharap Kementerian Pelajaran dan pengurusan sekolah akan memberi perhatian terhadap prestasi akademik dan disiplin pelajar dan pendekatan mengenai elemen jenayah yang menyerap masuk di sekolah bagi mengelakkan masalah sosial.
Berhubung hal ehwal parti, Wanita MCA meminta semua anggota parti supaya bekerjasama melaksanakan pelan penjenamaan dan transformasi parti dengan lebih berintegriti dan bermaruah bagi mendapat kepercayaan masyarakat Cina.
Perhimpunan itu juga mengulangi kenyataan menyokong penuh konsep 1Malaysia " Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan", yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pengenalan konsep dasar terbuka yang menerima dan menghormati pelbagai agama, bahasa dan budaya.
Selain itu, mereka juga menyokong Model Baru Ekonomi yang menggalakkan perkongsian kepentingan ekonomi nasional tanpa mengira bangsa dan mengukuhkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi menjana pertumbuhan ekonomi.
- Bernama

