'Perhimpunan di Bkt Jalil tiada kaitan dengan Galas'
Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal menolak tanggapan bahawa program pelancaran Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar oleh perdana menteri hari ini merupakan pembuka tirai bagi kempen pilihan raya kecil DUN Galas.
Sebaliknya, kata beliau, pelan yang dilancarkan hari ini telah dirancang sejak "berbulan-bulan" lamanya.
"Manalah kita tahu kawan tu (ADUN Galas) meninggal dunia. Pelan ini telah diminta oleh perdana menteri dalam tempoh setahun.
"Jadi kita buat pelan ini dah berbulan-bulan," katanya lagi dalam satu sidang media selepas pelancaran tersebut hari ini.
Galas adalah antara tiga DUN dalam parlimen Gua Musang. Kerusi tersebut kosong selepas kematian ADUN dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September, kerana barah usus.
Allahyarham memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 dengan mengalahkan Mohd Saufi Deraman dari BN, dengan majoriti 646
undi.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 11,553 pemilih layak mengundi dalam pilihan raya kecil Galas 4 November yang melibat 11,426 pengundi biasa dan 127 pengundi pos.
Dalam pada itu, beliau berkata agensi yang bertanggungjawab menyelia pembangunan luar bandar kini masih belum diselaraskan.
Katanya, penyelarasan perlu dijalankan supaya tidak berlaku pertindihan fungsi antara jabatan dan agensi terlibat dan juga tiada pembaziran dilakukan.
Kira-kira 8,000 orang ketua kampung hadir di majlis pelancaran tersebut di Stadium Putra Bukit Jalil yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

