Menang atau kalah, Ku Li terus teraju Umno bahagian
Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau sama sekali tidak akan berundur daripada terus menerajui Umno bahagian itu walaupun sekiranya beliau gagal mengembalikan DUN Galas ke tangan BN dalam pilihan raya kecil 4 November ini.
Tengku Razaleigh yang juga pengarah jentera pilihan raya BN bagi pilihan raya DUN itu berkata, adat pertandingan memang ada menang dan kalah kerana ia bergantung kepada sokongan pengundi.
"Saya bagaimanapun yakin perubahan besar akan berlaku dalam masyarakat di DUN Galas sejak kebelakangan ini dan BN mampu merampas semula kerusi itu dari tangan PAS.
"Saya cukup yakin dengan apa yang berlaku sekarang di mana pengundi kembali memihak kepada kita (BN) tetapi kita tidak boleh berdiam diri dan hendaklah bekerja kuat lagi bagi mendapat majoriti lebih besar," katanya.
Beliau yang juga ahli Umno Gua Musang menegaskan demikian semasa berucap di majlis perjumpaan dengan petugas peti undi Bandar Lama Gua Musang, di Gua Musang hari ini yang turut dihadiri pengarah jabatan pembangunan persekutuan Kelantan (JPPK), Makhtar Mustapha.
Ahli parlimen Gua Musang itu berkata pengalamannya lebih 50 tahun dalam Umno membuatnya yakin untuk mengatur strategi terbaik supaya
rakyat lebih yakin dengan perjuangan BN.
"Kita tidak mahu lagi rakyat khususnya pengundi di DUN Galas dihantui dengan pelbagai hasutan dan halangan kerana tidak ada apa yang mereka risaukan sekiranya terus menyokong calon BN nanti," katanya.
Katanya, beliau tidak pernah membuat janji dan bercakap kosong kepada rakyat dan mereka akan lihat segala yang di janjikan tetap berjalan untuk faedah rakyat di DUN itu.
Beliau berkata, pengundi juga boleh membuat perbandingan sendiri antara pemimpin BN dengan PAS yang mempunyai konsep perjuangan berlainan tetapi hanya BN sahaja yang mampu memberi kemudahan kepada rakyat sejak dahulu sampai sekarang.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 September lepas.
Allahyarham memenangi kerusi DUN Galas itu selepas menewaskan calon BN, Mohamad Saufi Deraman pada pilihan raya umum lalu dengan
majoriti 646 undi.
Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Galas itu ditetapkan pada 26 Oktober dan hari pengundian pada 4 November.
- Bernama

