'Puteri Umno perlu jadi perintis, bukan pengikut'
Pergerakan Puteri Umno perlu menjadi perintis trend dan bukan pengikut agar perjuangannya mewakili generasi muda dihormati parti dan rakyat, kata ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid
Shirlin.
Beliau berkata Puteri yang mewakili "pejuang bangsa Melayu moden" perlu lebih agresif selaku pewaris negara untuk merencanakan kehidupan rakyat dan masa depan negara melalui idea mantap dan program berkesan.
"Dalam kita menakhkoda bahtera perjuangan, kedengaran suara-suara meminta pergerakan ini dibubarkan. Mengapa timbul cakap-cakap sedemikian rupa? Tentulah ada sebabnya...adakah kerana ada yang melihat kita tidak sepenuh hati berjuang untuk parti?
"Kita mesti mengembalikan semangat (perjuangan) ini... Puteri mesti merapatkan barisan perjuangan parti tanpa mengira sama ada kita berjawatan atau tidak," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.
Sehubungan itu, sayap parti yang ditubuhkan pada 2001 itu bersetuju dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya setiap pihak perlu berubah dan memperkasakan politik sesuai dengan lanskap politik semasa, katanya.
"Ini dapat memberi landasan yang lebih jelas tentang hala tuju yang bersifat praktikal dan pragmatik dengan mengekalkan roh serta semangat perjuangan tokoh-tokoh terdahulu, berteraskan tuntutan akar umbi dan dalam masa yang sama mengasimilasikan gagasan 1Malaysia," katanya.
Rosnah juga yakin bahawa kehadiran Puteri mampu menjadi daya penarik kepada kumpulan muda untuk menyokong perjuangan Umno dan seterusnya membantu parti untuk cemerlang pada pilihan raya umum ke 13 kelak.
"Komitmen kita sebagai generasi muda yang kini dilatih sebagai pemimpin pelapis mestilah lebih besar lantaran kitalah yang akan meneruskan pembangunan negara dan menjalin kesinambungan politik menegakkan agama, bangsa dan negara," katanya.
Menurutnya sehingga 12 Okt lepas dan selepas proses pemutihan, Puteri kini mempunyai 347,378 anggota berdaftar, hasil daripada program berterusan mendekati golongan muda.
Rosnah turut menyokong usaha utama membangunkan bangsa Melayu dan Bumiputera tanpa mengenepikan kepentingan kaum lain seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri menerusi Model Baru Ekonomi (MBE).
"Kita percaya kewujudan MBE dapat menyelesaikan sebahagian besar permasalahan bangsa Melayu dan Bumiputera pada masa akan datang, tetapi MBE saja tidak mencukupi.
"Pimpinan Melayu mestilah boleh menonjol dan menguasai ruang politik pelbagai etnik secara meritokrasi bukan kroni, dan pada masa yang sama mempunyai sikap benci rasuah, politik wang dan budaya mengambil kesempatan atas wang rakyat," katanya.
Beliau juga berkata bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan taraf hidup semasa, Puteri mencadangkan supaya rakyat yang berpendapatan di bawah RM4,000 dikecualikan daripada cukai pendapatan.
"Untuk memantapkan kualiti pendidikan di negara ini pula, Puteri menyarankan agar lebih banyak sekolah-sekolah kemahiran dibina, diberi pengiktirafan sewajarnya dan diangkat sebagai antara asas pembangunan modal insan dari sudut pendidikan.
Rosnah juga berkata sudah tiba masanya kerajaan mengecualikan kutipan yuran pengajian pelajar di 22 universiti awam manakala kekurangan pendapatan universiti berkenaan ditampung melalui penambahan peruntukan kerajaan.
"Dengan itu, kita dengan penuh bangganya boleh menyatakan pendidikan di Malaysia adalah percuma dari tadika hingga ke menara gading," katanya.
Katanya bagi mengurangkan masalah sosial di kalangan generasi muda masa kini seperti pembuangan bayi atau seks luar nikah, maka satu silibus atau bab yang lebih fokus dalam aspek reproduktif perlu diperkenalkan dalam kurikulum Sains di sekolah menengah.
"Puteri juga menyokong usaha untuk mewujudkan sebuah rumah perlindungan dan pembelajaran seperti yang telah dibuat oleh kerajaan negeri Melaka dengan mewujudkan Sekolah Harapan.
"Cara ini dilihat ramai seolah-olah seperti menggalakkan gejala ini berleluasa namun percayalah ada banyak baiknya, dengan adanya premis yang lebih kondusif, selamat dan terjaga dengan baik, anak-anak muda yang terlanjur ini dapat membina semula kehidupan dengan anak mereka yang tidak berdosa," katanya.
Seramai 785 perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung pergerakan itu.
--Bernama

