Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor hari ini bersetuju untuk melaksanakan Sistem Integriti Korporat Bersepadu dalam pengurusan dan pentadbiran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Komitmen Kerajaan Negeri Selangor terhadap integriti, ketelusan dan kecekapan tidak berbelah bagi," kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Walaupun telah berjaya mengurangkan amalan rasuah di semua peringkat kerajaan dan anak syarikat kerajaan negeri, usaha kami untuk memastikan semua urusan di bawah tanggungjawab kami adalah 100 peratus bersih dan bebas dari sebarang unsur yang tidak diingini," tambahnya.

Khalid berkata, kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan Transparency International – Malaysia  (TM-I) yang setuju membimbing dan memberi nasihat kepada PKNS dalam merangka, menandatangani dan melaksanakan Sistem Integriti Korporat Bersepadu.

"Sistem Integriti Korporat Bersepadu akan melengkapi usaha PKNS untuk meningkatkan kecekapan dan mengelak risiko berlakukanya rasuah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

"Sistem ini juga dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai sistem pengurusan, pentadbiran dan corak perniagaan PKNS dan secara langsung menaikkan lagi reputasi dan imej anak syarikat kerajaan Selangor.

Sistem Integriti Korporat Bersepadu ini dibahagikan kepada tiga komponen bahagian - iaitu Kemudahan Infrastruktur, kemudahan peralatan integriti seperti pakatan integriti, polisi pemberi maklumat dan polisi anti rasuah serta komponen ketiga - latihan kepada kakitangan.

"Kita menjangkakan Sistem Integriti Korporat ini akan dilaksanakan secara menyeluruh dalam urusan PKNS pertengahan tahun depan," kata menteri besar.

Pelaksanaan sistem ini, tambahnya,  akan diintegrasikan dengan usaha kerajaan Selangor, termasuk mendeklasifikasikan dokumen, minit mesyuarat, tender terbuka dan, pada tahun hadapan, meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat di sidang Dewan Negeri Selangor.