Setiap tahun apabila Umno mengadakan perhimpunan agung, suasana sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Jalan Tun Ismail di Kuala Lumpur berubah menjadi luar biasa sibuk.

Bilik penginapan di hotel-hotel berhampiran habis ditempah manakala tempat letak kereta di PWTC dan Hentian Putra tidak mencukupi, dengan keadaan lalu lintas di Jalan Tun Ismail, Jalan Putra, Jalan Ipoh, Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Razak menuju ke arah PWTC sesak serta stesen transit aliran ringan (LRT) PWTC padat.

Sana sini berderuan pengunjung, kebanyakan berpakaian merah serta putih, serta pemerhati dari seluruh pelosok negara keluar masuk kompleks berusia 25 itu.

Setiap ruang bangunan PWTC mengalami transformasi apabila dihiasi dengan pelbagai sepanduk Umno serta poster para pemimpin Umno terdahulu hingga kini.

Tanda arah ke dewan-dewan, gerai jualan, Pusat Media dan ke surau terpapar jelas, memudahkan pergerakan orang ramai.

Suasana di dalam PWTC tampak eksklusif dengan sofa-sofa diletakkan di sekitar ruang legar bagi memudahkan perwakilan dan pemerhati bersantai dan merehatkan minda.

Tempat jamuan sehingga ke dalam tandas pun dihiasi dengan gubahan bunga-bunga segar yang menarik.

Hamparan permaidani, yang memenuhi hampir setiap penjuru ruang, membuatkan pengunjung yang sudah letih berdiri tidak segan silu untuk duduk bersila sambil menonton skrin besar disediakan di luar dewan terutamanya bagi mendengar amanat Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak serta mengikuti perbahasan anggota perwakilan.

Pengunjung, pemerhati dan perwakilan yang ditemui rata-rata memuji usaha pihak pengurusan PWTC menambah baik perkhidmatannya.

Pengarah Komunikasi Pemasaran PWTC Fadzilah Said berkata pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak termasuk media mengenai cara memperbaiki lagi perkhidmatan kepada pengunjung pada masa akan datang.

Buat pertama kali, Dewan Tun Razak di aras empat dijadikan ruang solat Jumaat bagi para anggota perwakilan dan pengunjung.

Anggota Umno Bahagian Pagoh, Abdul Rasyid Abdullah, 59, yang saban tahun mengikuti Perhimpunan Agung Umno berkata dewan solat Jumaat itu adalah satupembaharuan paling ideal dan amat dialu-alukan.

"Sebelum ini golongan lelaki mengerjakan solat Jumaat di luar seperti di Masjid Wilayah (Persekutuan) atau KLCC...sekarang sudah ada ruang solat berjemaah di sini... senanglah, tak perlu terkejar-kejar lagi," katanya.

Pemerhati Umno cawangan Gambang, Bahagian Paya Besar, Pahang, Siti Azizah Hasbullah, 43, lega apabila aliran keluar masuk di pintu utama lebih lancar dengan ketiadaan gerai-gerai yang sebelum ini memenuhi kawasan kaki limanya.

"Selain itu, tandas pula selesa dan bersih selalu kerana petugas yang ditempatkan untuk menjaganya ramai," kata suri rumah itu.

Setelah dibuka pada 1985, PWTC menjadi lokasi utama bagi penganjuran pelbagai persidangan dan pameran penting di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan sudah semestinya menjadi tuan rumah bagi perhimpunan agung parti politik Melayu terbesar negara itu.

Bagi Perhimpunan Agung Umno 2010 selama lima hari bermula Selasa, PWTC yang terdiri daripada Menara Dato' Onn yang menempatkan ibu pejabat UMNO, Dewan Merdeka, Dewan Tun Abdul Razak, Dewan Tun Dr Ismail dan Dewan Tun Hussein Onn mula membuat persiapan sejak April lepas.

Ia melibatkan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan dalam pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan seperti pengwujudan satu unit khas dipanggil "Special Service Unit (Unit Khidmat Khas)" (SSU), yang membabitkan 12 petugas terlatih, yang khusus memberi perkhidmatan istimewa kepada tetamu kenamaan seperti Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet.

Selain 320 pekerja tetap, pihak pengurusan PWTC mengambil 400 orang pekerja sementara bagi memastikan janji perkhidmatan bertaraf lima bintang sepanjang berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno 2010 dapat ditunaikan.

Gerai jualan yang menjadi satu kemestian pada setiap kali berlangsung Perhimpunan Agung Umno, yang pada kebiasaannya ditempatkan di ruang legar tingkat bawah PWTC, buat pertama kalinya dibahagikan kepada dua bahagian iaitu hanya beberapa gerai korporat diadakan di ruang itu manakala sebahagian besar di aras tiga.

Ini bertujuan memudahkan pergerakan keluar masuk kira-kira 50,000 anggota perwakilan dan pengunjung semasa berlangsungnya perhimpunan itu.

Rata-rata peniaga yang majoritinya memberi tumpuan menjual produk yang diminati wanita khususnya tekstil, batik, pakaian, eksesori hiasan, tudung dan selendang, serta produk kesihatan menyambut baik langkah pengalihan tapak gerai ke aras tiga kerana penempatan gerai lebih tersusun dan ruang lebih selesa.

Peniaga makanan ringan dari Perlis, Jalaludin Basir, 43, berkata pengunjung yang tidak putus-putus datang ke gerainya sejak hari pertama perhimpunan menunjukkan keberkesaan sistem baru itu.

"Seperti tahun-tahun sudah, orang paling ramai datang pada dua hari terakhir sebab mereka membeli belah sebelum pulang ke kampung halaman, masa itulah ramai yang mengharapkan jualan murah jadi kita beri potongan harga sehingga 50 peratus," katanya.

Golongan yang paling sibuk setiap kali perhimpunan sebegini berlangsung pastilah para petugas media yang membuat liputan.

Perhimpunan kali ini melibatkan 1,207 wakil media yang terdiri daripada 56 agensi media cetak dan elektronik, dan 12 daripadanya adalah media dan agensi berita antarabangsa.

Sistem keselamatan yang lebih ketat di bilik media, ruangan khas untuk menemuramah pemimpin dan pelbagai kemudahan lain melancarkan tugas mereka dalam menghasilkan berita yang bermutu.

--Bernama