Inkues Gunasegaran, keputusan terbuka
Koroner Siti Shakirah Mohtarudin hari ini memberikan keputusan terbuka berhubung inkues bagi menentukan kematian R Gunasegaran semasa dalam tahanan polis kerana tidak boleh dibuktikan dengan muktamad.
Beliau berkata, walaupun laporan bedah siasat merupakan satu bukti "prima facie" yang tidak boleh disangkal, versi kedua juga diterima mahkamah.
"Dengan ini, saya mendapati kes inkues ini adalah satu kes "open verdict" di mana ia berlaku apabila keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap yang dikehendaki untuk merekod lain-lain keputusan," katanya.
Dalam mengumumkan keputusannya di Mahkamah Majistret hari ini, Siti Shakirah berkata, tindakannya itu kerana saksi yang memberi keterangan pada bedah siasat kedua hanya menyatakan bahawa kecederaan yang dialami mangsa ketika dalam tahanan adalah punca kematiannya.
"Kematian adalah disebabkan oleh salah satu daripada dua perkara, tetapi saya tidak boleh buat kesimpulan sama ada benar bahawa kecederaan yang didadapati dari hasil bedah siasat adalah akibat dipukul,” katanya.
Kemungkinan lain punca kematian, menurut Siti Shakirah adalah “jumlah tinggi” dadah yang dikesan di sistem Gunasegaran pada bedah siasat pertama.
Siti Shakirah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 23 saksi pada prosiding inkues yang bermula 11 November tahun lalu.
Dalam penhujahannya, sebelum ini, peguam bagi keluarga simati, M Visvanathan berkata Gunasegaran mati akibat kecederaan yang didakwa ditendang di bahagian dada oleh Lans Korporal Mohd Faizal Mat Taib, dan bukannya terlebih mengambil dadah seperti yang didakwa oleh timbalan pendakwa raya Shashitah Mohamad Hanifa.
Semasa inkues, saksi yang hadir di balai polis Sentul di mana Gunasegaran dijumpai mati pada 16 Julai 2009 berkata mereka terlihat Mohd Faizal menendang mangsa tetapi tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan tindakan rakan mereka.
Visvanathan, juga mendakwa polis 'mempercepatkan' kematian Gunasegaran dengan membelasahnya ketika dalam tahanan dan gagal memberikan bantuan kecemasan ketika dia pengsan.
Katanya anggota polis yang terbabit dalam kes itu juga gagal menjalankan tanggungjawab mereka kerana tidak bertindak atas maklumat yang diberikan ketika kenyataan mangsa dirakamkan.
"Nampaknya seolah-olah wujud konspirasi di kalangan beberapa pihak untuk menutup kebenaran di sebalik kematian Gunasegaran,” katanya semasa inkues.
Visvanathan juga mendakwa enam anggota polis yang bertindak sebagai saksi berbohong kepada mahkamah dan memberikan kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain berhubung beberapa isu.
Beliau mempertahankan bahawa Gunasegaran mati akibat kecederaan parah sepanjang kira-kira satu kaki dan lima sentimeter dalam di dadanya yang dipercayai disebabkan disepak, dan bukannya kerana mengambil dadah berlebihan seperti didakwa oleh Shashitah.
Gunasegaran, 31, ditangkap atas kesalahan dadah. Dia pengsan ketika polis mengambil cap jarinya semasa dalam tahanan antara jam 6.45 hingga 7 petang dan diisytiharkan mati pada jam 7.40 petang pada 16 julai tahun lalu di hospital Kuala Lumpur.
Pihak polis dalam laporan rasminya berkata Gunasegaran mati kerana menyalah-gunakan dadah.
Pada Julai, 2009, Dewan Rakyat dimaklumkan 2,029 tahanan mati ketika dalam penjara, pusat pemulihan dadah dan pusat imigresyen antara 2002 dan 1 Jun, 2009.
Visvanathan kemudian memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan itu di Mahkamah Tinggi secepat mungkin.
[Baca berita penuh]

