Chin sasar jualan Bakun selesai 2011
Jualan projek hidroelektrik Bakun kepada kerajaan Sarawak boleh dimuktamadkan menjelang pertengahan tahun depan.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata empangan itu sendiri akan siap untuk penjanaan kuasa menjelang pertengahan 2011 dan jualannya dijangkakan dimuktamadkan sejurus selepas itu.
"Kementerian Kewangan memiliki Bakun dan merekalah yang adakan perbincangan dengan negeri Sarawak. Butirannya saya tidak tahu tetapi mereka masih lagi mengadakan perbincangan, itulah yang saya diberitahu," kata beliau ketika sesi soal-jawab selepas menyampaikan ucaptama di Forum Eksekutif ABB di Kuala Lumpur, hari ini.
Apabila ditanya mengenai kos loji nuklear itu, beliau berkata, adalah terlalu awal untuk menyatakannya.
"Kita menjangkakan perbelanjaan modal yang tinggi untuk permulaan dan kos operasi juga agak besar," tambah beliau.
Enggan memaklumkan lokasi loji berkenaan, beliau bagaimanapun berharap unit pertama akan siap menjelang 2021, tertakluk kepada selesainya kerja-kerja tanah, penerimaan awam dan langkah-langkah keselamatan.
Chin berkata, tenaga nuklear ialah sumber tenaga yang Malaysia perlu perkenalkan di masa akan datang bagi memenuhi permintaan elektrik dan ini juga ekoran kepelbagaian percampuran tenaga untuk memastikan keselamatan bekalan.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, kerajaan berharap melaksanakan Pelan Induk Kecekapan Tenaga Nasional, yang kini dalam peringkat akhir, menjelang tahun depan untuk merangsangkan kecekapan tenaga dan mengurangkan pengeluaran karbon.
- Bernama

