Timbalan Presiden KeADILan Dr Chandra Muzaffar akan meninggalkan parti itu tidak lama lagi. Beliau sudah menyatakan hasratnya itu kepada pucuk kepimpinan parti dalam satu mesyuarat selepas pilihanraya umum lalu. Chandra mempertimbangkan hasratnya untuk kembali aktif dalam bidang akademik dan melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela, menurut sumber-sumber dalam parti. Perkembangan ini menguatkan lagi desas-desus ketegangan dalam barisan pemimpin tertinggi KeADILan. Setakat ini, menurut sumber-sumber dalam parti, surat rasmi perletakan jawatan itu "belum diterima" oleh parti.

"Dr Chandra ada menyatakan hasratnya untuk menarik diri daripada jawatan Timbalan Presiden KeADILan. Beliau sudah merujuk beberapa rakan dan pemimpin parti berhubung hal itu," jelas Mohamad Ezam M. Nor, Ketua Pemuda KeADILan apabila dihubungi malaysiakini.

"Beliau menarik diri bukanlah kerana kekalahannya dalam pilihanraya baru-baru ini." Ezam bagaimanapun menafikan perletakan jawatan itu berpunca daripada tekanan daripada mana-mana pihak.

"Beliau mendapat satu tawaran penting daripada sebuah pertubuhan antarabangsa. Bagaimanapun pihak parti masih memerlukan khidmat beliau," katanya. "Secara peribadi, saya berharap beliau akan terus bersama memimpin parti dan dalam waktu yang sama menerima tawaran pertubuhan antarabangsa tersebut."

Sementara itu, Marina Mohd Yusoff, Naib Presiden KeADILan tidak bersedia mengulas isu berkenaan tetapi beliau yakin parti itu akan terus kukuh walaupun ada perubahan pada pucuk pimpinan parti.

"Tidak seperti Parti Semangat 46, kekuatan KeADILan bergantung pada semangat juang anak-anak muda di peringkat akar umbi," tegas Marina, sambil merujuk kekuatan jentera parti menghadapi pilihanraya umum lalu walaupun baru berusia tujuh bulan.

Chandra tidak dapat dihubungi kerana menghadiri satu persidangan antarabangsa di Afrika Selatan. Beliau dijangkakan pulang ke Malaysia beberapa hari lagi.

Chandra disebut-sebut sudah ditawarkan satu peranan penting dalam sebuah badan bukan kerajaan di peringkat antarabangsa dalam bidang kajiannya, dialog peradaban. Sebelum menyertai KeADILan, Chandra merupakan Pengarah dan pensyarah Pusat Dialog Peradaban di Universiti Malaya.

Beliau tidak disambung kontraknya di universiti itu secara mendadak ekoran kritikan-kritikannya kepada kerajaan melalui penyertaannya dalam Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang ditubuhkan selepas penahanan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber-sumber tidak rasmi dalam parti itu, bagaimanapun, menyebutkan kepimpinan Dr Chandra menerima banyak kritikan dari pelbagai pihak. "Bukan faktor kekalahan dalam pilihan raya tetapi soal gaya kepimpinan Dr Chandra," jelas satu sumber yang rapat dengan Ibupejabat keADILan, "yang kurang disenangi oleh beberapa kumpulan penyokong."

Pada pilihanraya umum lalu, Dr Chandra tewas di tangan calon Barisan Nasional, Datuk Tan Chai Ho di Bandar Tun Razak dengan majoriti tipis 1,224. Semasa kempen pilihanraya lagi, desas-desus perletakan jawatan beliau sudah mula disuarakan secara tertutup di kalangan aktivis dan pemimpin tertinggi keADILan.

"Walaupun dikagumi sebagai tokoh intelektual, Chandra dilihat tidak begitu berjaya dalam kepimpinan sebuah parti politik. Malah beliau sendiri mengakui hakikat tersebut," jelas sumber itu lagi.