ADUN baru Galas yang baru, Abdul Aziz Yusoff berjanji akan cuba menyelesaikan masalah rakyat di kawasannya terutama isu pembangunan.

    

Beliau yang memperoleh majoriti 1,190 undi dalam pilihan raya kecil DUN Galas, merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk membantu memajukan rakyat di Galas setelah mereka memberikan mandat yang tinggi.

NONE "Saya ingin ucapkan terima kasih kepada rakyat Galas kerana memberikan kepercayaan kepada saya dengan begitu banyak dan menaruh keyakinan kepada saya sebagai "orang baru" dalam DUN," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil DUN Galas malam ini.

    

Abdul Aziz memperolehi 5,324 undi mengalahkan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad, yang mendapat 4,134 undi.  

    

Beliau berkata keyakinan itu jelas diterjemahkan melalui jumlah undi terutama masyarakat Melayu, kaum Cina, India dan orang Asli yang mahukan pembangunan yang lebih baik daripada BN.

Katanya kesemua mereka jelas menolak kepimpinan kerajaan Pas Kelantan yang masih gagal mengubah taraf kehidupan mereka sejak memerintah negeri itu selama 20 tahun.

    

Katanya beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan jentera BN, termasuk MIC, MCA dan PPP, yang memberikan kepercayaan serta sokongan kepada dirinya.

    

"Saya tidak ada apa-apa janji lain cuma saya akan berkhidmat sebaik mungkin dengan sedaya-upaya saya," katanya dengan tersenyum.

- Bernama