'Pengiktirafan WEF berasas kestabilan politik'
Pengiktirafan Malaysia sebagai negara yang ke-20 antara negara terunggul dalam indeks pembangunan kewangan Forum Ekonomi Dunia (WEF) tahun ini berasaskan kestabilan politik yang menyakinkan suasana pelaburan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata ia tidak mengejutkan disebabkan sebelum ini Malaysia telah banyak menerima pengiktirafan dunia terutama sistem kewangan Islam (Perbankan Islam) antara yang terbesar di peringkat global.
"Keadaan dalam negara yang aman damai dan rakyat yang hidup bersatu padu dan mesra pelaburan banyak menyumbang ke arah itu," katanya kepada pemberita pada majlis mini konvokesyen graduasi kanak-kanak Tabika Kemas di Bachok, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar bahawa Malaysia mencatatkan peningkatan mengagumkan sebanyak lima anak tangga dan merupakan antara 20 negara terunggul dalam indeks pembangunan kewangan WEF tahun ini, ekoran pertambahan besar pengumpulan matanya, terutama daripada segi kestabilan kewangan hingga mengatasi Singapura.
Kekuatan negara sebagai pusat perbankan Islam juga jelas berdasarkan indeks itu, kata laporan pembangunan kewangan tahunan ketiga Forum Ekonomi Dunia.
Malaysia meningkat dari kedudukan ke-22 kepada kedudukan ke-17 dalam indeks keseluruhan yang diterajui Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Awang Adek berkata kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Khamis lepas, akan menyakinkan lagi pelabur-pelabur luar untuk melabur di negara ini.
Beliau berkata konsep 1Malaysia, Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Tranformasi Ekonomi yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipandang positif oleh dunia sebagai yang terbaik di rantau ini.
Awang berkata selain itu, sikap rakyat Malaysia yang tidak ekstremis dan lebih suka bekerjasama antara pelbagai etnik mendorong mereka menanam modal dalam negara.
"Yang lebih penting sekarang rakyat terus bersatu dan mendokong cita-cita kerajaan untuk mencapai negara yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," katanya.
--Bernama

