Gerakan: Orang ramai baca bukan atas perintah PAS
Gerakan Kedah meminta kerajaan negeri menerima kritikan yang membina dan membatalkan keputusannya untuk melarang beberapa organisasi media, termasuk Malaysiakini daripada membuat liputan sidang dewan negeri yang bermula semalam.
"Ia bertentangan dengan kebebasan bersuara dan mendapat maklumat," kata Pengerusi Gerakan Kedah Dr Cheah Soon Hai sambil menambah bahawa orang ramai membaca apa yang ingin mereka baca dan bukan atas perintah kerajaan PAS Kedah.
Beberapa wakil organisasi media tidak dibenarkan untuk membuat liputan dan ditahan oleh pengawal keselamatan di pintu masuk utama bangunan Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.
Dr Cheah, yang juga ADUN Derga menyifatkan larangan itu sebagai penindasan oleh kerajaan negeri terhadap organisasi media yang tidak melaporkan berita mengikut kehendak mereka.
"Ia benar-benar salah bagi kerajaan negeri untuk membuat keputusan itu semata-mata kerana tidak puas hati dengan laporan akhbar berhubung dakwaan kegagalannya membantu mangsa banjir baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Cheah berkata kerajaan negeri tidak perlu takut untuk mengakui kesilapannya dalam membantu dan melindungi orang ramai terutama mangsa banjir jika apa yang dilakukannya masih tidak mencukupi.
“Kita adalah sebuah negara yang pesat berkembang dengan penduduk yang matang. Akhirnya orang ramai yang akan menentukan sama ada apa yang mereka baca baik atau buruk, katanya.
Beliau berkata media yang bertanggungjawab, kritikal dan adil adalah penting bagi masa depan Kedah dan penduduknya.
- Bernama

