Komposisi kaum dalam Rela akan diseimbangkan
Jumlah keanggotaan kaum Cina dan India dalam Ikatan Relawan Rakyat (Rela) akan ditingkatkan kepada 40 peratus, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong.
Beliau berkata sasaran pertambahan itu merupakan langkah menyeimbangkan komposisi pelbagai kaum dalam Rela selaras dengan gagasan 1Malaysia.
Rela kini memiliki jumlah anggota kira-kira 2.1 juta di seluruh negara dengan 30 peratus daripadanya merupakan kaum Cina dan India manakala selebihnya kaum Melayu, Orang Asli dan masyarakat berketurunan Thai, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Penambahan Anggota Rela Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai Rela Kelantan, Lee meluahkan rasa gembira terhadap prestasi pasukan itu yang giat melaksanakan aktiviti dan berusaha menambah keanggotaan daripada kaum bukan Melayu di negeri ini.
Katanya sehingga kini, Rela Kelantan mempunyai sejumlah 141,966 anggota iaitu 105,242 relawan dan 36,724 relawati.
"Jumlah ini masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penduduk Kelantan yang melebihi satu juta orang.
"Bagaimanapun saya difahamkan Rela Kelantan meletakkan sasaran untuk mencapai 150,000 anggota akhir tahun ini seterusnya dapat membantu merealisasikan hasrat Rela pusat untuk mencapai sasaran seramai 2.6 juta anggota penghujung tahun ini," katanya.
- Bernama

