Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin mempertahankan sistem pemilihan parti itu yang menghadapi pelbagai kritikan daripada dalam dan luar kerana ia hanya "ciptaan manusia"

"Sistem yang digunakan adalah ciptaan manusia. Sudah tentu tidak sempurna. Pelaksananya juga manusia.

"Pengalaman akan menjadikan kita lebih cekap dalam melaksanakannya. Teguran dan saranan akan membantu memperbaikinya," katanya.

Sehubungan itu, Shamsul Iskandar berkata, jika aduan dan teguran dibuat demi memperbaiki kelemahan yang wujud dalam sistem yang digunakan, tindakan segera mestilah diambil.

"Tetapi kita tidak akan sekali-kali kompromi dengan tindakan menyerang dan menghina parti, menggunakan media musuh untuk membuat pelbagai fitnah dan tohmahan tanpa sebarang bukti yang kukuh.

"Mereka ini menjadi perkakas BN menyerang untuk melemahkan kita," kata Shamsul Iskandar lagi.

Menyatakan kekesalannya terhadap beberapa anggota yang menjadikan persaingan dalam pemilihan parti negatif, Shamsul Iskandar berkata pihaknya berlapang dada terhadap golongan yang 'berpatah arang, berkerat rotan' itu.

"Pemergian mereka ini meski tidak kita suruh atau hambat, kita terima dengan berlapang dada. Ini bukan kali pertama anggota atau pemimpin meninggalkan parti ini.

"Bukan pula kali ini yang pergi terlelau besar peranan dan pengaruh," kata Shamsul Iskandar lagi.

"Sebelum ini telah ada yang lebih hebat, telah ada yang bersumpah keramat, berpaling tadah dan kini menjadi perkakas untuk menyerang kita.