Waspada pembersihan, 'kumpulan berempat'
Perwakilan PKR diingatkan supaya berhati-hati terhadap agenda 'pembersihan' dalam parti dan kemungkinan wujudnya "kumpulan berempat" yang mungkin merosakkan dan membawa keburukan.
Perwakilan Pahang Ahmad Nizam Hamid berkata, slogan pembersihan yang dilaung-laungkan itu hanyalah bersandarkan emosi 'cengeng' dan bukan berdasarkan hujah intelektual.
"kalau ada
gang of four
(kumpulan berempat) dalam parti, (menyebabkan) parti akan longgar sendi," kata Ahmad NIzam Hamid (kiri) yang membuka pentas membahaskan usul pemberdayaan demokrasi dalam Kongres PKR di Petaling Jaya hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut tentang agenda tersebut dan kumpulan yang dimaksudkannya itu.
Ahmad Nizam juga menyuarakan kebimbanganya terhadap fenomena "pemimpin dewa" dalam PKR.
"Pemimpin yang merasakan dirinya dewa, tiada tempat dalam parti. Parti dibina atas konsep merdeka," kata pengamal undang-undang itu.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ahmad Nizam yang juga ketua cabang Temerloh menjelaskan apa yang disuarakannya itu berdasarkan cakap-cakap di kalangan akar umbi yang dikongsi bersama.
Walaupun ditanya berulang kali, beliau masih enggan memaklumkan siapakan kumpulan berempat yang dimaksudkannya.
Bagaimanapun, menurutnya, kumpulan itu ditimbulkan berdasarkan suasana politik China di zaman Revolusi Kebudayaan (1966-76) yang dipimpin tokoh besar Komunis Mao Zedong.
Berdasarkan sejarah, kumpulan berempat merujuk kepada peranan isteri Mao, Jiang Qing dan tiga lagi selepas kematian suaminya yang mengawal organ parti sesuka hati - tindakan yang mengakibatkan berlakunya kucar-kacir dalam parti.
Ditanya sama ada beliau menujukan label kumpulan berempat itu kepada pemenang jawatan timbalan presiden PKR Azmin Ali, Ahmad Nizam enggan mengulas perkara itu.
Pada 22 November lalu, Azmin berikrar untuk membersihkan parti itu daripada "pengkhianat" ekoran tindakan dalam pemilihan dua bulannya yang mencemarkan imej parti di mata awam.
Bercakap kepada parlimen di lobi Parlimen, Azmin - kini masih naib presiden - berkata, "pembersihan" itu akan bermula serta-merta selepas kongres PKR yang akan tamat hari ini.

