'Khalid, mana sangkut duit perjuangan Felda?'
Kongres PKR ditinggalkan dengan tandatanya apabila seorang perwakilannya menimbulkan isu "peruntukan besar" untuk perjuangan Felda yang didakwa tersangkut.
"Ada khabar berita yang tak sahih, terdapat manusia di Selangor diberi peruntukan besar untuk mempelopori perjuangan Felda tetapi akhirnya tersangkut di mana?
"Saya tidak tahu tetapi (Menteri Besar) Tan Sri Khalid (Ibrahim) jawablah sendiri," kata perwakilan Pahang Suhaimi Said.
Beliau yang juga pengerusi Biro Felda PKR bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut berhubung dakwaannya itu dan pihak yang terbabit.
Bercakap ketika membahaskan usul memartabatkan maruah bangsa dalam kongres parti di Petaling Jaya hari ini, Suhaimi juga berkata biro Felda tidak dapat bergerak aktif kerana tiada bantuan kewangan daripada parti.
"Macam saya kerja sudah tak ada. Gaji terserah pada anak-anak. Kadang-kadang seratus (ringgit), kadang-kadang 200 (ringgit).
"Jadi saya minta supaya diadakan belanjawan untuk kami bergerak ke seluruh negara bagi bertemu degan hampir satu juta pengundi dalam tanah rancangan Felda," kata pesara peguam itu.

