Pemimpin BN diminta memberi tumpuan kepada agenda transformasi politik yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, daripada membangkitkan isu kecil untuk keuntungan peribadi.

NONE Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata setiap masalah atau isu membabitkan BN hendaklah disuarakan melalui saluran yang betul seperti mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

"Saya nak nasihatkan pemimpin BN, bawalah dalam mesyuarat BN. Sekiranya ada perkara yang terbuku, salurannya ada dan ia wujud daripada dahulu lagi.

"Kalau tak dibawa dalam mesyuarat BN tetapi diluahkan dalam sesuatu konvensyen, ia akan jadi tanda tanya apa sebenarnya matlamat kita sebagai pemimpin sekiranya saluran sedia ada tak digunakan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini ketika mengulas ucapan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, semasa Konvensyen BN di Ahad lalu supaya pemimpin Umno tidak menggunakan istilah "Ketuanan Melayu" yang katanya berkonsepkan "tuan" dan "hamba".

NONE Chua juga dilaporkan meminta pemimpin Umno tidak membuat pengumuman mengenai sebarang polisi semasa Majlis Tertinggi Umno atau Perhimpunan Agung Umno.

Hishammuddin berkata, beliau ada mendengar rungutan beberapa pemimpin termasuk daripada MCA terhadap kenyataan Chua tetapi ia hanya berkisar dalam konteks konvensyen itu sahaja.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata jenayah transnasional akan menjadi ancaman besar bukan sahaja kepada Malaysia tetapi negara serantau sekiranya tidak ditangani secara serius dengan melibatkan kerjasama rapat negara-negara jiran.

"Sebab itu agenda yang paling penting dalam konteks keselamatan serantau dan negara tahun depan ialah bagaimana kita dapat merealisasikan usaha nak mewujudkan satu pusat yang melihat kepada jenayah transnasional.

"Ini antara sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk Kementerian Dalam Negeri tahun hadapan kerana semua KPI yang diumumkan untuk tahun ini telah dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

- Bernama