Satu lagi aduan polis dibuat terhadap Presiden Parti Rakyat Malaysia (PPP), Datuk M Kayveas berhubung kenyataannya yang menyaran supaya sekolah jenis kebangsaan Tamil di negara ini ditutup.

Aduan polis itu dibuat oleh Yayasan Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan Tamil Malaysia (YPPPTM) di Balai Polis Dang Wangi pada jam 12.30 tengah hari ini.

Aduan itu dibuat oleh Presiden YPPPTM, M Manoharan. Turut sama ialah A Rajaretnam yang mewakili Majlis Pemuda India Malaysia.

Sebelum itu, Pemuda DAP juga telah membuat aduan polis terhadap Kayveas berhubung kenyataan yang sama. Kayveas turut dibidas oleh pelbagai pihak termasuk presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu kerana kenyataan tersebut.

Ini berikutan kenyataan Kayveas dalam akhbar Cina, Sin Chew Daily, Khamis lalu yang menyarankan supaya sekolah Tamil ditutup demi masa depan yang lebih baik bagi kanak-kanak keturunan India di negara ini.

Menurut timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu lagi, langkah tersebut juga akan dapat memperbaiki dan meningkatkan lagi taraf sosio-ekonomi masyarakat India yang kebanyakanya masih hidup dalam kemiskinan.

Minta maaf

Bagaimanapun, kenyatan Kayveas itu telah mencetus kontroversi dan bantahan daripada pelbagai golongan, terutama yang memperjuangan pendidikan Tamil di negara ini.

Selain aduan polis hari ini, YPPPTM juga bercadang untuk membuat beberapa lagi aduan yang sama di balai polis di negara ini.

Yayasan itu juga telah menghantar surat kepada Kayveas bagi mengadakan satu sesi perbincangan untuk membincangkan isi sebenar kenyataan presiden PPP itu.

Setiausaha YPPPTM, R Sivamani, ketika dihubungi berkata, Kayveas sepatutnya menyokong kewujudan sekolah bahasa ibunda (Tamil) dan berkerjasama meningkatkan kemudahan di sekolah terbabit, dan bukannya menyarankan ia ditutup kerana kekurangan kemudahan".

"Kami berharap Datuk Kayveas meminta maaf di atas kesilapan beliau dan memberi sokongan kapada sekolah Tamil di negara kita dengan mendapatkan bantuan bagi menyediakan kemudahan yang diperlukan," katanya kepada malaysiakini .

"Datuk Kayveas selaku seorang timbalan menteri, tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu. Beliau menunjukkan sifat menentang bahasa Tamil dan beliau mempermainkan hak kami", tegas Sivamani.

Sedia berdebat

Manakala itu, agensi berita Bernama memetik Kayveas mempertahankan kenyaataannya.

"Saya berkata demikian untuk wujudkan satu Bangsa Malaysia. Kita mesti menimbang penutupan semua sekolah Tamil dan Cina. Semua pelajar dari sekolah sekolah ini perlu didaftarkan di sekolah kebangsaan," kata Kayveas.

Beliau turut berkata kesediaanya untuk berdebat dengan sesiapa pun untuk mempertahankan pendapatnya, yang juga merupakan pendapat parti PPP.