Perbicaraan disiplin Lingam bersambung 21 Januari
Jawatankuasa Disipilin, Majlis Peguam yang mendengar kes peguam Datuk VK Lingam berhubung isu video kontroversi yang mengaitkan peguam kanan itu dengan pelantikan hakim-hakim, yang bermula Isnin lalu, menyaksikan seorang peguam terkenal memberikan keterangannya.
Sesi keterangan yang berakhir semalam akan bersambung semula pada 21 Januari dengan enam lagi saksi dipanggil untuk memberi keterangan mereka pula.
Perkara berkenaan disahkan kepada Malaysiakini oleh setiausaha Majlis Peguam, George Varughese yang juga hadir pada prosiding semalam.
“Hanya seorang saksi yang beri keterangan sejak Isnin lalu dan kerana ia prosiding tertutup, saya hanya boleh beritahu beliau adalah seorang peguam yang terkenal.
“Ia akan bersambung pada 21 Januari ini. Lima atau enam lagi saksi dijangka akan beri keterangan,” katanya.
Semasa Inkuri Siasatan Diraja (RCI) berhubung perkara yang sama, sebelum ini, antara peguam yang memberi keterangan adalah ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.
Peguam kanan, Muhammad Shafee Abdullah, yang ingin memberikan keterangan, bagaimanapun tidak dipanggil oleh RCI.
Klip video 2007 itu memaparkan Lingam berbual dengan bekas ketua hakim negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, - yang didakwa cuba mengatur perlantikkan hakim-haim. Majlis Peguam memfailkan aduannya pada tahun yang sama.
Varughese berkata jaewatankuasa disiplin yang ditubuhkan oleh Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara.(ASDB) hanya boleh mendengar kes berkenaan sekarang kerana beberapa halangan.
“Lingam menimbulkan beberapa bantahan terhadap dua jawatankuasa disiplin yang ditubuhkan sebelum ini supaya anggota mereka menarik diri. Ini adalah jawatankuasa disiplin ketiga yang mendengar kes berkenaan,” katanya.
“Kelewatan ini bukan kesalahan Majlis Peguam ataupun ASDB,.” katanya.
Katanya, meskipun kerajaan telah memutuskan supaya tiada tindakan diambil ke atasLingam, jawatankuasa berkenaan akan memulakan prosiding ke atas peguam kanan itu.
[Baca berita penuh]

