Selepas menafikan pernah membuat kenyataan supaya sekolah Tamil ditutup, presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M Kayveas tampil pula dengan cadangan supaya dilancarkan 'kempen memperbaiki sekolah Tamil'

Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, beliau menyarankan supaya dua akhbar utama Tamil - Malaysia Nanban and Tamil Nesan - menaikkan harga 10 sen senashkah untuk mengisi tabung prestasi sekolah Tamil.

Kayveas berkata, beliau membuat cadangan itu bagi menyelamatkan bahasa ibunda itu yang kian pupus sekarang.

Sebelum ini, timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu telah mencetuskan kontroversi apabila didakwa membuat kenyataan supaya sekolah Tamil ditutup.

Kenyataan beliau itu telah menimbulkan bantahan dari pelbagai pihak termasuk tiga aduan polis yang dibuat terhadapnya oleh Pemuda Keadilan, Yayasan Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan Tamil Malaysia (YPPPTM) dan Pemuda DAP berhubung kenyataannya itu.

Bagaimanapun, semalam, Kayveas berkata, beliau tidak pernah menyaran supaya sekolah Tamil ditutup, tetapi sebaliknya menggesa supaya mata pelajaran bahasa Tamil diperkenalkan di sekolah kebangsaan kerana semakin banyak sekolah Tamil yang 'berkubur'.

Lebih panjang

Menurut Kayveas lagi, kutipan daripada wang jualan 10 sen itu boleh disalurkan untuk memperbaiki dan meningkatkan kemudahan di sekolah Tamil yang memerlukanya.

Bagaimanapun, katanya, jika wang masih tidak mencukupi dan semakin banyak sekolah Tamil yang berkubur (justeru terdapat kurang 15 pelajar bagi setiap sekolah), maka pengajaran bahasa Tamil harus diwajibkan di sekolah kebangsaan.

"Di sekolah Tamil, bahasa itu hanya akan diajar dari Tahun 1 hingga tahun 6. Tetapi jika ia diwajibkan di sekolah kebangsaan, ia boleh diajar dari Tahun 1 hingga ke Tingkatan 5. Ini satu jangkamasa yang panjang jika dibandingkan hanya enam tahun di sekolah Tamil," tegasnya.

Mengenai cadangannya untuk membuat aduan balas terhadap aduan-aduan polis terhadapnya berhubung isu berkenaan, Kayveas berkata ia akan dibuat dalam masa seminggu lagi.

"Saya akan mengumpul semua aduan yang dibuat terhadap saya untuk mengkaji siapa yang menghantarnya dan isi aduan, kemudian saya akan membuat aduan balas," tegasnya.