Pakatan belum putus calon DUN Tenang
Pakatan Rakyat belum memutuskan calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Tenang, Johor yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha Jumaat lalu.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (
pertama dari kiri
) berkata Pakatan akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu dan sedia menghadapi pilihan raya kecil DUN Tenang secara bersama seperti pilihan raya kecil lalu.
"Kita belum putuskan (calon) dan akan mesyuarat dulu, siapa calonnya akan dimaklumkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Pakatan sehari di dewan Millenium di Kepala Batas hari ini.
Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan setiausaha agung DAP Lim Guang Eng.
Allahyarham Sulaiman meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.
Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang dalam pilihan raya umum lalu, dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.
Sementara itu, Lim berkata sama ada pilihan raya umum ke-13 diadakan secara berasingan di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang, bergantung kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kita tunggu pengumuman daripada perdana menteri dan ada ura-ura menyatakan beliau hanya akan membubarkan Parlimen dan Sarawak (Dewan Undangan Negeri Sarawak) sahaja tapi tidak yang lain.
"Sebarang keputusan berhubung pengumuman itu akan dirunding secara bersama dalam PR (Pakatan Pembangkang)," katanya.
- Bernama

