Dakwaan bahawa DAP menyalurkan maklumat kepada kerajaan Singapura mengenai keterlibatan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akitiviti liwat seperti yang didedahkan oleh WikiLeaks merupakan tuduhan tidak berasas, kata setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

    

pakatan 2nd convention 191210 04 Lim, yang juga ketua menteri Pulau Pinang, berkata dakwaan itu sengaja dibuat bagi memburuk-burukkan parti itu.

    

Beliau berkata tiada bukti menunjukkan DAP mempunyai hubungan dengan kerajaan Singapura khususnya pasukan risikan republik berkenaan.

    

"Ketika itu dari mana Wikileaks mendapat segala maklumat? Daripada hubungan diplomatik?

    

"Pada masa ini, DAP masih belum mempunyai kuasa, jadi apa jenis hubungan yang kita (DAP) ada dengan pasukan risikan Singapura?," katanya dalam sidang akhbar sempena konvensyen Pakatan Rakyat kedua di Kepala Batas hari ini.

Semalam, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Hamidzun Khairuddin mahu DAP membuat penjelasan mengenai maklumat yang diterima Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew berhubung keterlibatan Anwar dalam aktiviti liwat seperti didedahkan WikiLeaks baru-baru ini.

    

Hamidzun dilaporkan berkata DAP diketahui umum sebagai rakan politik rapat kepada kerajaan PAP Singapura, yang antaranya diasaskan oleh Lee pada 1954.

    

Tambahan pula, katanya segala perincian kes itu berada dalam genggaman pengerusi DAP Karpal Singh yang turut bertindak sebagai peguambela utama Anwar dalam kes liwat yang sedang dihadapinya.

    

- Bernama