Presiden parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M Kayveas digesa supaya menggunakan kedudukannya dalam kerajaan dan sebagai pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk memastikan semua sekolah Tamil di negara ini mendapat bantuan penuh kerajaan.

Ia lebih baik daripada Kayveas membuat kenyataan yang boleh menjejaskan kedudukan dan masa depan sekolah Tamil di negara ini, kata setiausaha agung penaja Parti Reformasi Insan Malaysia (Prim), P Uthayakumar.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, kebanyakan sekolah Tamil di negara ini, dibiarkan tanpa bangunan asas dan kemudahan asas lain sebagai bantuan pendidikan dari kerajaan.

Bagaimanapun, tambah Uthayakumar, kerana mahu menjadi pemimpin parti berbilang kaum, Kayveas sanggup membuat kenyataan yang boleh menjejaskan hak pendidikan asas bagi rakyat keturunan India di Malaysia, sepertimana yang terkandung dalam Artikel 12, Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Artikel 12 menyebut bahawa tiada diskriminasi dalam pemberian bantuan kewangan untuk menyelenggara atau untuk pendidikan pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada diselenggara oleh pihak berkuasa ataupun tidak).

Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan pula, katanya, menyebut bahawa semua orang ada sama di mata undang-undang dan berhak kepada layanan saksama undang-undang.

Letak jawatan

Bagaimanapun, Uthayakumar mendakwa layanan kerajaan terhadap sekolah Tamil tidak selari dengan semangat yang terkandung Persekutuan Negara, Akta Pendidikan dan Dasar Baru Pendidikan.

Menurut Uthayakumar lagi, sekiranya Kayveas gagal berbuat demikian, maka beliau sepatutnya meletakkan jawatan dalam kerajaan, serta membawa parti pimpinannya keluar daripada BN.

Merujuk kepada laporan akhbar New Straits Times pada 6 April lalu yang bertajuk 'Sekolah Tamil akan berkubur dengan sendirinya, kata Kayveas', Uthayakumr menyifatkan kenyataan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu, sebagai tidak bertanggungjawab.

Katanya, daripada memilih cara untuk memastikan sekolah Tamil diberi bantuan secukupnya, Kayveas memilih untuk menutup semua sekolah Tamil.

Bagaimanapun Prim, katanya, mengalu-alukan kenyataan beliau yang akan menghantar memorandum kepada Kementerian Pendidikan untuk menjadikan bahasa Tamil sebagai wajib diajar di sekolah kebangsaan.

Namun begitu, katanya, Kayveas tidak sepatutnya menimbulkan persoalan jika semuanya baik dalam masyarakat India, mengapa banyak berlaku kegiatan samseng manakala rakyat keturunan India pula sedikit demi sedikit menjadi warga kelas tiga di negara ini.

Cakap kosong

Kayveas, kata beliau, sepatutnya menyoal perkara itu kepada kerajaan di mana beliau memegang jawatan timbalan menteri manakala PPP pula adalah parti komponen BN.

Uthayakumar juga berkata, Kayveas sepatutnya memastikan kabinet dan kerajaan BN mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan peruntukan dalam Artikel 12(1)(b) dan Artikel 8(1) dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Janganlah memberi alasan yang sekolah-sekolah Tamil dibina di atas tanah persendirian dan oleh itu, tidak boleh menerima bantuan penuh kerajaan. Kerajaan boleh mengambil balik tapak terbabit melalui perintah belian wajib, melalui Kanun Tanah Negara," tambahnya.

Sementara itu, Kayveas ketika dihubungi malaysiakini , sekali lagi menegaskan bahawa pihak yang mengkritiknya itu tidak memahami maksud sebenarnya kenyataan itu.

Lagi pula, katanya, beliau juga tidak bertanggungjawab terhadap soal pendidikan di negara ini.

Malah, tegasnya, kempen memperbaiki sekolah Tamil dan cadangan menaikkan harga dua akhbar Tamil sebanyak 10 sen untuk disalurkan kepada sekolah berkenaan, hanyalah cadangan beliau.

"Kerajaan sentiasa beri peruntukkan kepada semua sekolah di bawah pentadbirannya. Wang 10 sen itu adalah untuk sekolah yang dibina di tanah persendirianm," tambahnya.

Bagaimanapun, beliau tetap dengan keputusannya untuk membuat adauan balas kepada mereka yang membuat aduan polis terhadapnya.

"Saya tiada masa untuk melayan sebarang aduan atau laporan lagi. Mereka hanya bercakap kosong," tegasnya.