Exco kanan kerajaan Selangor Ronnie Liu yang tewas dalam pemilihan DAP Selangor bulan lalu masih membungkam berhubung tindakan ke atasnya oleh jawatankuasa disiplin parti itu.

Ditemui Malaysiakini selepas sidang media di i-City Shah Alam, pengerusi jawatankuasa tetap kerajaan tempatan, kajian dan penyelidikan itu enggan memberikan sebarang kenyataan mengenai perkara  itu.

NONE "Saya tidak mahu beri ulasan  di sini (majlis) ini, mungkin saya akan cakap di tempat (program) lain," katanya sambil tersenyum.

Ronnie ( kanan ) menerima surat tunjuk sebab selepas membuat kenyataan kepada sebuah portal berita mendakwa berlaku politik wang semasa pemilihan parti.

Sementara itu, Ronnie yang juga ADUN Pandamaran menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa tender dan sebutharga di Selangor masih tidak telus.

Menurutnya, dakwaan itu hanyalah tohmahan semata-mata.

"Kita ikut cara yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) menggunakan sistem 'cut of point' di mana kita memilih kontraktor dengan melihat profil syarikat secara keseluruhannya.

"Bukan semestinya kita pilih (kontraktor) kerana mereka tawar harga paling murah, kita kena pastikan  kerana kita tidak mahu kontraktor yang menawarkan harga  murah selepas itu (kontraktor) muflis," jelasnya.