Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti Keadilan, N Gobalakrisnan hari ini mempelawa presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) M Kayveas untuk berdebat mengenai isu sekolah Tamil dalam satu perhimpunan di Batu Caves Ahad ini.

Menurutnya, perhimpunan itu akan berlangsung di hadapan Sekolah Tamil Batu Caves pada jam 11 pagi.

Gobalakrisnan berkata, beliau membuat pelawaan itu berikutan kenyataan Kayveas pada 7 April di dalam media tempatan mengenai kesediaannya berdebat untuk mempertahankan kenyataannya berhubung perkara itu.

Beliau berharap semua pihak yang menyokong kewujudan sekolah Tamil di negara ini turut menghadiri perhimpunan tersebut.

Menurutnya, tujuan utama perhimpunan itu adalah untuk menyatukan kaum India di negara ini untuk bersama-sama berusaha memelihara sekolah Tamil serta meningkatkan kualiti bahasa berkenaan.

Gobalakrisnan berkata, bahasa Tamil adalah warisan berharga kaum India dan menjadikan satu keunikan di negara ini di mana wujudnya kesuburan kehidupan pelbagai bahasa dari pelbagai kaum.

Gagal

Katanya, perhimpunan itu dijangka dihadiri sama oleh Prof P Ramasamy dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); M Manoharan ( kanan ) dari DAP Selangor; P Uthayakumar setiausaha agung Parti Reformasi Insan Malaysia ( PRIM ); timbalan pengerusi Keadilan Selangor, P Krishnasamy, wakil Yayasan Tamil, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Kayveas selaku ketua dan wakil kerajaan sepatutnya berkerja keras untuk menanggani masalah sekolah Tamil, malah apa jua masalah yang dihadapi oleh rakyatnya. Beliau juga seorang peguam yang sepatutnya boleh berfikir mengenai dasar-dasar yang berfaedah untuk rakyat," tambah Gobalakrisnan.

Bertanya mengenai reaksi Kayveas pada hari Rabu di malaysiakini yang menyatakan beliau tidak bertanggumgjawab dalam hal pendidikan di negara kita, Gobalakrisnan berkata: "Kalau dia tidak bertanggungjawab, dia seorang pemimpin yang gagal."

"Ini kerana masalah sekolah Tamil masalah kaumnya. Kalau menurutnya beliau masih tidak ada kena-mengena dengannya, saya meminta Kayveas membuat pengumuman bahawa beliau tidak ada penyokong berbangsa India," tambahnya.

Menyentuh kenyataan Kayveas dalam akhbar The New Straits Times bahawa "sekolah Tamil akan mati dengan sendirinya'" Gobalakrishnan bertanya, bagaimana ia boleh mati dengan sendirinya jika pemimpin negara memainkan peranannya.

Malah beliau juga mempersoalkan cadangan Kayeas supaya diadakan kutipan derma bagi membantu menyediakan kemudahan asas kepada sekolah Tamil di negara ini.

Aduan baru

"Mengutip derma untuk sekolah mahupun universiti adalah atas dasar perniagaan. Kita patut serahkan kerja ini kepada kerajaan. Mengapa orang Melayu tidak mengutip derma seperti ini? Kerana mereka percaya ia adalah tugas kerajaan.

"Hanya pemimpin bukan Melayu seperti Datuk S Samy Velu, Datuk Dr Ling Liong Sik dan kini Kayveas pula yang suka mengutip derma untuk tujuan pendidikan bagi kaum mereka. Mereka seperti sudah tidak percaya lagi terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN). Ini menunjukkan sistem BN sudah gagal," tegasnya.

Mengenai cadangan Kayveas untuk membuat aduan balas terhadap aduan-aduan polis terhadapnya, Gobalakrishnan berkata, beliau juga akan membuat aduan terhadap timbalan menteri itu di balai polis Dang Wangi pada jam 2 petang esok.

"Aduan ini bukan seperti aduan yang dibuat sebelum ini. Ia adalah aduan terhadap Kayveas kerana cuba menakut-nakutkan semua orang awam dan wakil sesuatu kumpulan yang membuat aduan terhadapnya," tegasnya.

Sementara itu, Kayveas ketika dihubungi berkata Gobalakrisnan tidak memahami kenyataannya dan mengenai keadaan sekolah Tamil di negara ini.

Bukan tandingan

"Saya tidak mahu membuang masa sepertinya. Mengenai debat itu, saya rasa Gobalakrisnan tidak layak...Bagaimana saya hendak berdebat dengan seorang yang tidak tahu keadaan sebenar sekolah Tamil dan enggan memahami isi sebenar kenyataan saya?.

"Malah beliau bukan tandingan saya dari segi taraf dan kualiti," tegasnya.

Sehubungan itu, Kayveas menasihatkan Gobalakrishnan, yang merupakan bekas ahli PPP dan MIC, supaya mengkaji terlebih dahulu keadaan sebenar di sekolah Tamil sebelum mencabarnya berdebat.

Pada 8 April lalu, Gobalakrisnan telah menyatakan kesediaannya untuk menyahut cabaran itu dan meminta Kayveas menetapkan masa dan tempatnya.

Bagaimanapun, sehingga hari ini beliau belum mendapat sebarang jawapan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.