Pemuda Keadilan Malaysia tidak akan menganjurkan sebarang bentuk perhimpunan pada hari Isnin depan sempena hari 'Black 14' atas dasar menjamin keselamatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nama 'Black 14' diambil sempena tarikh Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman enam tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi bermula 14 April 1998.

Sebaliknya, pergerakan itu akan mengadakan program sambutan sempena pembebasan Anwar pada tarikh tersebut di kediaman rasmi presiden Keadilan,

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pemangku Tugas Ketua Pemuda, Muhammad Zahid Md Arip dalam satu kenyataan hari ini, berkata program itu akan dimulakan dengan solat Maghrib, tahlil, solat isya' dan hajat, serta amanat daripada pemimpin kepada ahli dan penyokong yang hadir.

Beliau meminta ahli dan penyokong parti itu supaya mengelak dari terbabit

dalam sebarang perhimpunan yang boleh dijadikan alasan untuk melabelkan

Keadilan dengan imej yang tidak baik yang akan menjejaskan keselamatan Anwar.

Dibatalkan

Sebelum ini, difaham beberapa perhimpunan 'Black 14' dijadual diadakan esok

dan Isnin depan bagi mengingati tarikh tersebut.

Ia termasuk satu 'Perhimpunan Aman Rakyat' akan berlangsung di depan Balai

Polis Campbell, Kuala Lumpur, pada jam 5 petang.

Difahamkan juga, mereka yang menghadiri perhimpunan itu akan menghantar

semula ratusan aduan polis yang pernah dibuat bagi mendedahkan ketidakpuasan mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sehingga ini tiada tindakan diambil.

Bagaimanapun, menurut laporan Harakah semalam, perhimpunan itu dijangka

dibatalkan.

Sementara itu, satu majlis bertajuk "Berita dari Sempadan Iraq' akan diadakan

pada jam 8.30 malam di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, Gombak pada hari Ahad.