Sektor perbankan Malaysia dijangka kekal positif tahun depan sejajar dengan latar belakang ekonomi yang lebih baik.

Kebanyakan bank dijangka terus mencatatkan pertumbuhan pendapatan berturutan yang sihat, didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang positif, peningkatan kualiti kredit dan aktiviti pasaran modal yang rancak.

Pengumpulan dana yang lebih tinggi dalam pasaran modal terutamanya bagi projek permulaan (EPP) yang digariskan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan mengembangkan pendapatan bukan faedah bank-bank itu.

"Sektor perbankan dalam negara adalah pada kedudukan yang kukuh dan sihat dengan pertumbuhan deposit yang kukuh dan kecairan yang banyak," kata Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings Bhd Dr Yeah Kim Leng kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau menjangka bank-bank di negara ini akan mengekalkan keuntungan tahun depan kerana margin faedah mereka kekal tinggi.

Sementara itu, OSK Research percaya dinamik pertumbuhan pinjaman akan kekal memuaskan didorong oleh persekitaran ekonomi yang rancak, mudah tunai yang banyak, kadar faedah rendah dan pemulihan aset.

Firma penyelidikan telah meramalkan pertumbuhan pinjaman sebanyak 9.5 peratus tahun depan.

"Anggaran pertumbuhan pinjaman kami bagi 2011 adalah 1.63 kali ganda daripada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (GDP) sebanyak 5.8 peratus pada  2011, yang kami fikir boleh dicapai kerana ia masih rendah dalam sejarah sepanjang lima tahun lepas pada julat 1.20 kali hingga 2.0 kali ganda pertumbuhan KDNK, dan lebih rendah berbanding purata sebelum krisis kewangan iaitu  3.0 kali hingga 4.0 kali pertumbuhan KDNK," katanya.

Satu lagi firma penyelidikan, MIDF Research melihat kadar pertumbuhan pinjaman sebanyak 9-10 peratus tahun depan.

Firma penyelidikan itu berkata bank-bank akan menumpukan kepada sektor yang menguntungkan untuk pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan untuk pinjaman korporat berkaitan projek kerajaan yang lebih besar, terutamanya EPP yang disenaraikan di bawah ETP dan Rancangan Malaysia ke-10.

"Kami kekal positif terhadap sektor perbankan dan saham pilihan kami adalah Maybank, AMMB dan RHB Capital," katanya.

Mengenai kadar faedah, OSK Research percaya Bank Negara Malaysia mungkin akan meneruskan proses penstabilan kadar dasar semalaman (OPR) mulai suku kedua 2011 dan seterusnya serta berpotensi menaikkan OPR sebanyak 75 mata asas lagi kepada 3.5 peratus.

"Berdasarkan unjuran ekonomi yang rancak, mudah tunai yang banyak dan faedah yang rendah di celah-celah persekitaran pemulihan semula aset, kami fikir peningkatan kadar atau penstabilan adalah masih positif bagi bank-bank pada paras semasa kerana ia akan meningkatkan margin secara sementara kerana harga semula aset lebih pantas daripada liabiliti," katanya.

Bagi 2010, industri perbankan Malaysia menunjukkan prestasi yang baik di sebalik ketidaktentuan di pasaran global.

Kebanyakan firma penyelidikan mengekalkan saranan mereka tentang saham berkaitan perbankan berikutan pertumbuhan pendapatan berturutan yang rancak.

--Bernama